
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri bakal membina 60 unit Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Kubang Parit dengan kos projek dianggarkan berjumlah RM20 juta, bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana memiliki kediaman sendiri.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 1.66 hektar di Kampung Kubang Parit dan merupakan sebahagian daripada pembangunan berbagai fasa oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
“Projek ini insya-Allah. Kerajaan negeri akan membina 60 unit Rumah Pangsa Mampu Milik yang dijangka memberi manfaat kepada 60 keluarga, khususnya di kawasan Parlimen Kuala Terengganu dan DUN Wakaf Mempelam.
“Kos keseluruhan projek dianggarkan sebanyak RM20 juta dan pembinaan dijangka bermula pada September 2026,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pemakluman Projek RPMM Kubang Parit di tapak projek, di sini.
Menurut beliau, kesemua unit yang dibina adalah Rumah Pangsa Jenis A melibatkan bangunan lima tingkat dengan keluasan setiap unit 800 kaki persegi, lengkap tiga bilik tidur dan dua bilik air.
“Harga jualan ditetapkan pada RM90,000 seunit selaras dasar baharu perumahan mampu milik negeri bagi memastikan ia benar-benar mampu dimiliki kumpulan sasar,” katanya.
Wan Sukairi berkata, tempoh pembinaan dianggarkan mengambil masa dua tahun dengan sasaran penyerahan kunci kepada pemilik pada 15 September 2028.
Menurutnya, syarat kelayakan pemohon ditetapkan kepada isi rumah berpendapatan antara RM1,500 hingga RM4,000 sebulan dengan tempoh pembiayaan sehingga 30 tahun dan anggaran bayaran bulanan sekitar RM237.
“Keutamaan diberikan kepada pemohon yang belum memiliki rumah atas nama suami atau isteri memandangkan jumlah unit yang ditawarkan adalah terhad,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/1/2026




















