
KUALA LUMPUR: Ketegasan titah Raja-Raja Melayu yang semakin lantang bersuara mengenai kebimbangan rakyat mutakhir ini disifatkan sebagai satu ‘kayu ukur’ terhadap janji dan prestasi sebenar Kerajaan Madani.
Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sewaktu perasmian sidang Parlimen kelmarin bukan sahaja senada dengan harapan rakyat, malah menjadi peringatan keras kepada pentadbiran negara.
Menurutnya, Baginda secara tegas menyentuh mengenai isu rasuah dengan peringatan bahawa mereka yang menyalahguna kuasa, menyeleweng wang awam atau bersubahat melindungi rasuah adalah pengkhianat negara.
“Satu kenyataan yang sangat tegas dan relevan memandangkan sudah ada tindakan peringkat tinggi meringankan hukuman ke atas perasuah dan membebaskan yang ada 47 kes prima facie.
“Ini berlaku dalam era Kerajaan Madani (PH-BN),” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.
Beliau turut memetik titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 14 Januari lalu yang menzahirkan kekecewaan apabila wujud pihak yang terus menyokong individu terpalit kesalahan rasuah besar, seolah-olah perbuatan itu dimaafkan.
Dalam pada itu, Abdul Kadir turut menarik perhatian terhadap titah Sultan Ibrahim mengenai kedudukan Bahasa Melayu dan gangguan terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Beliau menjelaskan, titah Seri Paduka Baginda bahawa pihak yang tidak dapat menerima Bahasa Melayu tidak layak menetap di Malaysia, boleh ditafsirkan sebagai merujuk kepada tuntutan mendesak kelompok tertentu mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Namun, beliau meluahkan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya percubaan pengiktirafan secara tidak langsung oleh kerajaan terhadap sijil tersebut.
“Implikasi titah Baginda Sultan Ibrahim mengenai bahasa Melayu dan sejarah ini menjadi lebih penting jika dibaca bersama kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan media pada 20 Januari.
“Jadi, kita jangan terperanjat jika isu UEC ini diselesaikan melalui pengiktirafan tidak langsung oleh Kerajaan Madani dengan menggunakan proses yang disebutkan oleh Anwar itu,” ujarnya.
Beliau berpandangan, percubaan mendapatkan pengiktirafan UEC dan kepentingan lain tidak mengherankan kerana pihak terbabit sedang cuba menguji pendirian kerajaan hari ini.
“Titah-titah Diraja ini menuntut satu tindakan tuntas dan bukan sekadar retorik, terutamanya dalam isu integriti dan kedaulatan bahasa kebangsaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/1/2026











