Tragedi letupan pendingin hawa: SOP jadi penentu

Ts Shahronizam Noordin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Insiden letupan di sebuah universiti swasta baru-baru ini yang meragut nyawa seorang pelajar praktikal ketika aktiviti penyelenggaraan sistem penyaman udara, perlu menjadi iktibar serius mengenai kepentingan aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

Kejadian malang yang turut mencederakan beberapa individu lain itu mendapat perhatian Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Ts Shahronizam Noordin yang menzahirkan rasa dukacita, khususnya apabila ia melibatkan pelatih industri yang masih baharu dalam persekitaran kerja sebenar.

- Advertisement -

Menurut beliau, aktiviti penyelenggaraan sistem penyaman udara mempunyai risiko tinggi sekiranya prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi sepenuhnya.

“Terdapat beberapa kes kemalangan terdahulu yang pernah berlaku ketika kerja-kerja penyelenggaraan sistem ini, antaranya letupan pemampat (compressor) akibat kegagalan prosedur LOTO (lockout–tagout) semasa pengisian gas,” katanya.

Beliau merujuk kepada satu insiden di sebuah kondominium di Kuala Lumpur di mana juruteknik mengisi gas berlebihan ketika sistem masih hidup, menyebabkan tekanan meningkat mendadak dan meletup.

Selain itu, Shahronizam turut membangkitkan risiko kebakaran melibatkan gas R32 yang bersifat mudah terbakar (kategori A2L).

“Pernah berlaku di Selangor, kebocoran gas R32 bertindak balas dengan percikan api kecil peralatan elektrik kerana pengudaraan tidak mencukupi lalu mencetuskan kebakaran,” jelasnya.

Tambahnya, risiko keracunan gas atau asphyxiation juga kritikal, seperti kes di sebuah hotel di Johor di mana juruteknik tidak sedarkan diri akibat gas R410A berkumpul di ruang sempit dan menyingkirkan oksigen kerana tidak menggunakan mesin pemulihan (recovery machine).

Justeru, beliau menggariskan beberapa langkah pencegahan utama yang wajib diambil oleh majikan, kontraktor dan orang kompeten KKP sebelum memulakan kerja.

“Pelaksanaan HIRARC (Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control) sebelum kerja bermula serta menyediakan JSA (Job Safety Analysis) khusus untuk setiap jenis kerja penyelenggaraan,” ujarnya.

Pihak terlibat juga, ujar beliau, mesti mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta peraturan berkaitan.

“Selain itu, penyediaan Permit Kerja (PTW) bagi kerja berisiko tinggi seperti di ruang sempit, tempat tinggi dan kerja elektrikal serta memastikan kompetensi semua pekerja agar terlatih dan diiktiraf adalah amat penting.

“Majikan dan pengamal KKP perlu memainkan peranan proaktif bagi memastikan tragedi seumpama ini tidak berulang lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/1/2026

- Advertisement -