LPQB RM60 juta: Soal duit, kebebasan peguam – Mumtaz

Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu ketelusan pengurusan dana Lembaga Kelayakan Profesion Guaman (LPQB) berjumlah kira-kira RM60 juta serta kebebasan profesion guaman menjadi antara perkara utama dibangkitkan Ahli Parlimen Tumpat, Mumtaz Mat Nawi, dalam perbahasan pindaan Akta Profesion Guaman 1976 di Dewan Rakyat sebelum ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, walaupun kerajaan membenarkan dana LPQB diuruskan melalui akaun amanah dan dilaburkan dalam simpanan tetap (FD), persoalan sebenar yang masih belum dijawab ialah kepada siapa manfaat dana tersebut akan disalurkan.

“Kita tahu dari mana duit itu dikutip dan ke mana ia dilaburkan, tetapi bagaimana duit itu digunakan dan siapa yang mendapat manfaat langsung tidak dibincangkan,” katanya ketika muncul dalam episod khas podcast Harakahdaily Dari Jalan Pahang baru-baru ini yang dikendalikan moderator Iqman Iberahim.

Beliau menjelaskan bahawa dana berkenaan dikutip daripada yuran dan caj calon peperiksaan serta pihak berkepentingan lain, justeru pulangan daripada pelaburan tersebut wajar diperjelaskan penerimaannya.

Dari sudut moral dan Islam, katanya, setiap penerimaan serta penggunaan wang mestilah disertai akad dan reda yang jelas bagi mengelakkan sebarang unsur keraguan.

“Inilah fungsi ahli Parlimen, memastikan semak dan imbang supaya urusan kewangan awam dibuat secara telus dan tuntas,” tegas beliau.

Dalam perbahasan sama, Mumtaz turut menegaskan bahawa kebebasan profesion guaman tidak boleh dikompromi melalui sebarang bentuk pemusatan kuasa eksekutif atau tindakan yang boleh menimbulkan rasa takut dalam kalangan peguam ketika menjalankan tugas mereka secara bebas dan profesional.

Tambahnya, pemusatan kuasa tertentu kepada Menteri berpotensi menggugat prinsip pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman yang menjadi asas kepada sistem demokrasi serta keadilan negara.

“Kita tidak mahu para peguam takut untuk mengambil mana-mana kes, terutamanya yang melibatkan klien Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kerana bimbang mereka pula dipanggil sebagai saksi,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada kes seorang peguam yang dipanggil oleh SPRM sebagai satu senario baharu yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan menimbulkan kebimbangan serius terhadap prinsip kerahsiaan hubungan antara peguam dan klien.

“Walaupun Timbalan Menteri sendiri menyatakan ketidaksetujuan terhadap tindakan tersebut, perkembangan berkenaan perlu terus dipantau oleh rakyat kerana setiap keputusan dan tindakan berkaitan profesion guaman membawa implikasi besar terhadap sistem keadilan serta perlindungan hak asasi di negara ini,” katanya. –HARAKAHDAILY 13/1/2026

- Advertisement -