Venezuela simbol kegagalan kawal ‘halaman rumah’

Venezuela tidak boleh dibiarkan berdiri bebas kerana nilai minyaknya, kedudukan strategiknya dan mesej yang dibawa kepada negara lain di rantau itu.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Venezuela bukan sekadar isu berkaitan Presiden negara itu, Nicolas Maduro Moros, sebaliknya mencerminkan cara fikir lama kuasa besar yang menganggap Amerika Latin sebagai ‘halaman rumah’ yang perlu patuh kepada hegemoni AS.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Zaim Irsyad Zainal Abidin berkata, serangan AS ke atas Venezuela serta penangkapan Presiden negara itu bukan tindakan spontan atau tersilap langkah, sebaliknya kesinambungan pendekatan lama kuasa besar melibatkan minyak dan penentuan nasib Amerika Latin.

Beliau berkata pendekatan itu bermula daripada ‘gunboat diplomacy’ sehingga kepada serangan ketenteraan.

Menurutnya, bagi AS, perkembangan di Venezuela mencabar doktrin lama yang berakar sejak Monroe Doctrine 1823 dan Roosevelt Corollary 1904, yang memberi legitimasi kepada campur tangan ketenteraan AS di Hemisfera Barat.

“Sejarah menunjukkan bahawa apabila sesebuah negara Amerika Latin terlalu rapat dengan kuasa pesaing, campur tangan akan menyusul. Dahulu Soviet, kini China,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mohd Zaim berkata di bawah pentadbiran Donald Trump, pendekatan itu tidak lagi berselindung di sebalik bahasa diplomasi, sebaliknya dilakukan secara terbuka, keras dan tanpa rasa malu.

Beliau berkata Venezuela bukan sasaran rawak kerana memiliki simpanan minyak terbesar di dunia, melebihi Arab Saudi.

“Selama beberapa dekad, syarikat Amerika menikmati akses hampir mutlak ke atas minyak Venezuela.

“Keadaan berubah apabila kerajaan yang enggan tunduk mengambil alih, meletakkan sumber strategik di bawah kawalan negara dan membina hubungan dengan kuasa pesaing seperti China dan Rusia,” ujarnya.

Menurut beliau, sejak itu tekanan demi tekanan dikenakan termasuk sekatan ekonomi, cubaan menjatuhkan kerajaan, perang naratif melalui media dan akhirnya kekuatan ketenteraan.

Beliau berkata naratif rasmi yang sering digunakan adalah berkaitan ‘cartel-narco’, namun fakta tidak menyokong sepenuhnya dakwaan itu.

“Laluan utama dadah ke Amerika Syarikat bukan melalui Venezuela tetapi melalui Colombia dan Peru menerusi Mexico, iaitu negara sekutu AS sendiri,” ulasnya.

Mohd Zaim berkata perkembangan itu turut mencerminkan perubahan dalaman di AS, apabila keputusan besar dibuat melalui arahan eksekutif dan bukan perbahasan institusi.

“Kuasa tentera menjadi alat utama dasar luar. Undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) semakin dianggap remeh. Dunia sedang menyaksikan politik kekuatan menggantikan politik peraturan,” ulasnya lagi.

Beliau berkata, kebangkitan China di Amerika Latin turut menjadi faktor besar dalam tindakan AS.

“China kini rakan dagang utama banyak negara di rantau Amerika Latin, melabur dalam pelabuhan, infrastruktur, tenaga dan kewangan.

“Bagi Washington, Venezuela adalah simbol kegagalan mengawal ‘halaman rumah’ sendiri,” terangnya.

Menurut beliau, Venezuela tidak boleh dibiarkan berdiri bebas kerana nilai minyaknya, kedudukan strategiknya dan mesej yang dibawa kepada negara lain di rantau itu.

“Bayangkan Amerika Syarikat sebagai kapten kapal besar yang dahulu berjanji mengikut peta. Hari ini, peta itu dibuang.

“Kapal kecil yang enggan patuh dianggap ancaman, lalu dirampas propaganda yang dibuat-buat. Penumpang lain melihat tetapi memilih diam,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/1/2026

- Advertisement -