
DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor berpandangan bahawa sudah sampai masanya PAS melakukan penilaian menyeluruh dan berani terhadap hubungan politik bersama BERSATU dalam kerangka Perikatan Nasional.
Penilaian ini bukan didorong oleh emosi atau kepentingan sempit, tetapi berdasarkan realiti politik semasa serta maslahat jangka panjang parti dan rakyat.
Prestasi BERSATU dalam beberapa siri pilihan raya kebelakangan ini jelas menunjukkan kemerosotan sokongan rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu. Realiti yang berlaku di banyak kawasan, BERSATU hanya bergantung kepada kekuatan PAS untuk kelangsungan politik mereka.
Namun, tuntutan kerusi dan pengaruh sering kali tidak seimbang dengan sumbangan sebenar. Ini bercanggah dengan semangat keadilan dan keikhlasan dalam konsep tahaluf siyasi.
Kes pendakwaan dan siasatan
Pendakwaan dan siasatan terhadap pimpinan utama BERSATU memberi kesan negatif kepada keseluruhan Perikatan Nasional. Walaupun PAS tidak terlibat, persepsi rakyat melihat gabungan ini sebagai satu entiti.
PAS tidak seharusnya terus berperanan sebagai ‘penyelamat’ kepada parti lain sehingga merugikan masa depan perjuangan sendiri.
Kerjasama politik dibenarkan selagi membawa maslahat. Memutuskan atau menilai semula hubungan politik adalah sebahagian daripada proses islah dan muhasabah demi kebaikan ummah.
Pengkhianatan, tikam kawan
‘Pengkhianatan’ dan ‘tikam kawan’ yang berlaku baru-baru ini menyedarkan kita semua betapa pentingnya elemen kejujuran dan kesetian bagi merealisasikan matlamat perjuangan bersama.
Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyeru kepimpinan PAS Pusat agar melakukan penilaian tegas dan berani terhadap hubungan dengan BERSATU, demi menjaga imej dan prinsip perjuangan Islam, memperkukuh kekuatan parti, serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PAS sebagai parti masa depan negara.
MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 30/12/2025











