Isu Perlis: PAS tak anggotai EXCO, sedia hadapi PRN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu, demikian umum Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

- Advertisement -

Menurut beliau, semua anggota EXCO sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan mantan Menteri Besar yang lepas, Mohd Shukri Ramli.

Ahli Parlimen Kota Bharu, bagaimanapun menegaskan, PAS komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan PAS dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU-15.

PAS Pusat menurut beliau, telah mengambil ketetapan tersebut setelah meneliti dan membuat pertimbangan terhadap situasi semasa berkait Kerajaan Negeri Perlis dan Parti Perikatan Nasional (PN), difahamkan daripada mesyuarat diadakan malam tadi.

Menyentuh mengenai PN, PAS katanya menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku, dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap PN.

“PAS juga dengan ini menawarkan kesediaannya untuk menerajui Perikatan Nasional bagi tujuan memperkasakan organisasi dan persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) ke-16,” ujarnya.

Dalam pada itu, PAS juga menurutnya, menegaskan komitmen untuk kekal selamanya menghormati lunas-lunas undang-undang, prinsip-prinsip demokrasi, konsep Raja berperlembagaan.

“Serta kebijaksanaan DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail demi kemaslahatan negeri dan rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/12/2025

- Advertisement -