
KUANTAN: Masalah sistem perparitan yang gagal berfungsi dengan baik dikenal pasti sebagai punca air bertakung setiap kali hujan lebat di Perumahan Alor Ladang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Beserah, Dato’ Andansura Rabu.
Beliau berkata demikian hasil tinjauannya semalam di kawasan berkenaan yang mendapati longkang perumahan tersebut langsung tidak mempunyai laluan aliran keluar (discharge). (Foto atas)
Menurutny, keadaan itu memaksa penduduk bertindak memecahkan hujung longkang bagi mengalirkan air ke tanah kosong bersebelahan sebagai langkah sementara mengelakkan air terus bertakung di hadapan rumah.
“Biasanya air longkang dari satu perumahan akan dialirkan ke anak sungai, saliran utama atau disambungkan ke longkang perumahan bersebelahan, tetapi kes ini langsung tiada laluan discharge,” katanya di laman sosialnya susulan melawat kawasan terbabit.
Beliau berkata, penduduk memaklumkan bahawa setiap kali hujan lebat sekitar dua jam, air akan mula bertakung di kawasan rumah dan dalam keadaan tertentu berisiko masuk ke dalam kediaman.
Tambahnya, masalah tersebut menjadi semakin ketara selepas siapnya pembinaan perumahan baharu di kawasan berdekatan, yang dipercayai menambah jumlah aliran air tanpa sistem saliran yang seimbang.
Andansura berkata, kes seumpama itu sering beliau bangkitkan kerana ia berkait rapat dengan prosedur kelulusan kebenaran merancang oleh pihak berkuasa tempatan.
“Bila perkara ini dipersoalkan, ada yang mengatakan saya suka cari salah dan menghalang pembangunan. Sedangkan bukan itu isunya,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, pembangunan tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut fizikal, sebaliknya perlu dirancang secara lestari dengan mematuhi prosedur yang betul demi kesejahteraan rakyat.
“Bukan tak suka pembangunan, tetapi biarlah pembangunan itu lestari. Negeri boleh maju dan dalam masa yang sama rakyat hidup sejahtera,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan akan mengangkat isu berkenaan kepada pihak berkuasa berkaitan agar diberi perhatian sewajarnya dan tindakan penyelesaian dapat dilaksanakan demi keselamatan serta keselesaan penduduk setempat. – HARAKAHDAILY 20/12/2025











