Rombakan Kabinet: 70% rakyat beri isyarat penolakan

'Political ransom' DAP perbuatan fundamental 'ultra kiasu'

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertindak melakukan rombakan Kabinet tidak menambah baik imej Kerajaan Madani, sebaliknya maklum balas menunjukkan hampir 70 peratus rakyat tidak bersetuju, tidak selesa dan gusar.

- Advertisement -

Ketua Umno Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszafar Gulam Mustakim malah berkata, Pasukan Pengurusan Krisis Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) sedang berusaha keras menyediakan ‘remedi’ menangani situasi itu.

Beliau menyifatkan rombakan tersebut sebagai kejayaan ‘politik tebusan’ (political ransom) oleh DAP hingga berjaya mengegarkan tiang seri bangunan Perdana Putra dan membuatkan Perdana Menteri ketakutan untuk melakukan demikian.

Rombakan besar-besaran kabinet itu bidas beliau, berbeza daripada dakwaan Anwar sebelum ini yang akan hanya melaksanakan rombakan kecil untuk mengisi tiga kekosong Menteri yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

“Tidak perlu tunggu habis tempoh 6 bulan yang diugut, hanya tak sampai seminggu gertakan DAP berubah terus pola dalam percaturan politik YAB PMX,” ujarnya menyifatkan perkara itu mengesahkan wujudnya ‘political ransom’ di belakang tirai kem Pakatan Harapan.

Menurut Gulam Muszaffar lagi, DAP sedang berusaha memperbetulkan semula ‘fundamental politic’ parti tersebut iaitu menjadi ‘ultra’ dan ‘kiasu’ walaupun mereka bersama berada di dalam Kerajaan Madani.

“Sejak DAP kalah teruk di PRN Sabah, lihat Gobind, Lim Guan Eng, Ram Karpal tiba-tiba hentak dan balun kerajaan dengan isu-isu sosial liberti, ekonomi dan kesamarataan yang sejak dulu itulah tunjang perjuangan DAP yang hanya memikirkan kepentingan hanya satu kaum sahaja,”

Tegasnya, semua ini bukan petanda bagus melainkan hanya satu yang positif dalam rombakan itu apabila Umno mendapat semula Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan tambahan satu Menteri dari komponen BN menjadikan lapan Menteri BN dan lima Timbalan Menteri.

Beliau bagaimanapun membangkitkan kekhuatiran, dengan ‘political ransom’ DAP itu akan mempengaruhi Barisan Nasional (BN) untuk berdepan keputusan kes kewujudan Titah Adendum Dato’ Sri Mohd Najib pada 22 Disember nanti. – HARAKAHDAILY 19/12/2025

- Advertisement -