Bolehkah SetPol PM dilabel ‘penerima rasuah tegar’?

Bagaimana pula salah guna kuasa PM melindungi rakan sekutu menerima rasuah?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pemberi maklumat (whistleblower), yang menurutnya mencetuskan kekeliruan dan bersifat mendahului proses keadilan.
 
Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri yang menyifatkan wujud kekeliruan dalam kalangan rakyat apabila penyamun atau perasuah dianggap sebagai ‘whistleblower’ dan dijadikan ‘hero’, selain menyokong cadangan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun depan.
 
Menurut Ahmad Fadhli, beliau bersetuju dengan usaha pindaan akta berkenaan, namun mempersoalkan individu yang dimaksudkan Perdana Menteri dalam kenyataan tersebut, yang merujuk kepada ahli perniagaan, Albert Tei.
 
“Persoalannya, adakah Albert Tei merupakan penyamun tegar yang mencuri sejumlah wang dan cuba berselindung di sebalik undang-undang berkenaan selaras dengan hujahan daripada Anwar Ibrahim?” ujarnya dalam media sosial miliknya.
 
Beliau menegaskan tidak menyebelahi Albert Tei, namun menuntut keadilan ditegakkan dan mempersoalkan sama ada Perdana Menteri telah mendahului keputusan mahkamah dengan menggambarkan individu itu telah mencuri wang atau memperoleh manfaat yang mengesahkan kesalahannya.
 
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut membangkitkan persoalan sama ada bekas Setiausaha Politik (SetPol) Perdana Menteri boleh dilabel sebagai ‘penerima rasuah tegar’ sedangkan individu berkenaan baru sahaja didakwa di mahkamah.
 
Ahmad Fadhli juga mempersoalkan sama ada Perdana Menteri bersedia dipanggil ke mahkamah untuk mengemukakan bukti yang selari dengan hujahannya, dan menyifatkan kegagalan berbuat demikian sebagai satu perkara yang memalukan.
 
Menurutnya, berdasarkan rekod, Albert Tei adalah pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah Sabah pada awal November tahun lalu dan peguamnya pernah mengutus surat kepada Perdana Menteri ketika itu.
 
“Malangnya Perdana Menteri telah menolak permohonan perlindungan kepadanya dalam masa yang singkat walaupun tanpa sebarang siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa,” tempelaknya.
 
Beliau menyatakan bahawa keadaan itu menjelaskan mengapa aduan Albert Tei diabaikan, dengan menegaskan bahawa sehingga kini Anwar Ibrahim tidak pernah menafikan penglibatannya seperti yang didakwa dalam video Sofia Rini Buyong yang tular di media sosial.
 
“Tanpa penafian secara rasmi daripada Anwar Ibrahim, bermakna apa yang dikatakan oleh Sofia Rini Buyong adalah benar,” tegasnya.
 
Ahmad Fadhli turut menuntut penjelasan berhubung tindakan Perdana Menteri yang melindungi, bekerjasama serta memuji rakan sekutunya daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terlibat menerima rasuah.
 
Beliau mempersoalkan sama ada Perdana Menteri menganggap penerima rasuah lebih mulia dan suci berbanding pemberi rasuah.
 
“Sekiranya Anwar Ibrahim menuduh kedudukan Albert Tei merupakan penyamun tegar, bagaimana dengan perbuatannya menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri untuk melindungi rakan sekutunya yang menerima rasuah?
 
“Apa perbezaan antara Anwar Ibrahim dengan Albert Tei? Adakah mereka berdua sama-sama merupakan penjenayah tegar?” soalnya.
 
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata beliau bersetuju bahawa wujud kekeliruan besar dalam negara berkaitan isu ‘whistleblower’, namun menegaskan kekeliruan itu tercetus akibat tindakan Perdana Menteri sendiri.
 
“Anwar Ibrahim cuba mengelirukan masyarakat dengan ancaman moral serta memutarbelitkan fakta untuk menjatuhkan kredibiliti Albert Tei sebelum perbicaraan yang adil supaya beliau dapat menyelamatkan dirinya sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/12/2025

- Advertisement -
- Advertisement -