
ALOR SETAR: Dewan Ulamak PAS di semua peringkat diseru agar tidak bekerja sendirian, sebaliknya menjalinkan kerjasama erat dengan Dewan Pemuda PAS bagi mengelakkan pertindihan tugas dalam menjayakan agenda perkaderan ulamak pelapis.
Perwakilan Ulamak PAS Negeri Kedah, Ustaz Muhammad Azki Hafizi Ibrahim berkata, Dewan Pemuda sedia mempunyai jentera dan sistem mantap dalam soal pentarbiyahan pelajar dan mahasiswa perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, usaha ini penting bagi memastikan kesinambungan Kepimpinan Ulama dalam parti terjamin pada masa hadapan.
“Dalam organisasi PAS, kita perlu tahu bahawa soal perkaderan dan pentarbiyahan pelajar, mahasiswa dan remaja berada di bawah Dewan Pemuda.
“Oleh itu, Kepimpinan Ulama mestilah mengadakan hubungan yang erat dengan Dewan Pemuda khususnya dalam perancangan dan pelaksanaan soal perkaderan.
“Jangan buat kerja banyak kali sebab Dewan Pemuda sudah memulakannya,” katanya ketika perbahasan Ucaptama Ketua Ulamak PAS Pusat pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat Kali Ke-64, di sini hari ini.
Menurut beliau, Dewan Pemuda mempunyai kelebihan kerana telah memiliki data perkaderan pelajar di semua kampus, proses perkaderan yang sistematik, serta modul telah dibangunkan dan didokumentasikan.
Justeru, ujar beliau, peranan Dewan Ulama adalah untuk menambah baik kerangka sedia ada, khususnya bagi segmen ulamak muda, bukannya membina satu sistem yang baharu dari bawah.
Kejayaan kini hasil tarbiyah 20 tahun lalu
Mengimbau kembali sejarah, Ustaz Azki Hafizi menegaskan bahawa kekuatan PAS pada hari ini, yang berjaya memimpin empat negeri dan mempunyai ramai Ahli Parlimen serta DUN, adalah hasil daripada proses perkaderan dan tarbiyah konsisten sejak 20 hingga 30 tahun lalu.
Beliau memberi penghormatan kepada tokoh-tokoh terdahulu seperti Almarhum Ustaz Hassan Shukri dan Almarhum Ustaz Yahya Osman yang telah mengasaskan proses tersebut.
“Kewujudan Kepimpinan Ulama di setiap lapisan dari kawasan hinggalah kepada kepimpinan tertinggi pada hari ini adalah hasil usaha perkaderan yang telah dilalui bersama-sama.
“Ia bukan disemai hari ini tetapi prosesnya memakan masa. Inilah yang dikatakan ‘The Power of Recruitment’,” katanya.
Beliau turut menyeru agar perhatian khusus diberikan kepada institusi-institusi pengajian Islam di dalam dan luar negara seperti Mesir, Jordan, Syria, Yaman dan Indonesia yang menjadi lubuk bakal-bakal ulama.
“Jika hari ini kita lalai menyiapkan ulama muda, maka esok kita akan kehilangan pemandu bahtera perjuangan.
“Tetapi jika hari ini kita berjihad mendidik, mentarbiyah dan memperkasa mereka, maka insya-Allah PAS akan terus subur dengan ulama yang memimpin umat hingga ke hari kiamat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 13/9/2025











