Rakyat tidak boleh dibisukan dengan angka

Ahmad Dullah
- Advertisement -

KALABAKAN: PAS Sabah menzahirkan kebimbangan terhadap kelulusan perbekalan tambahan oleh kerajaan negeri baru-baru ini, yang dilihat menimbulkan persoalan serius dari sudut keutamaan dan ketelusan perbelanjaan awam.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS negeri, Ahmad Dullah menegaskan bahawa rakyat berhak mengetahui ke mana arah sebenar dana yang begitu besar diluluskan oleh kerajaan negeri.

“Saya mengikuti rapat perkembangan Sidang DUN Sabah yang meluluskan perbekalan tambahan sebanyak RM1.18 bilion. Ini bukan angka kecil malah hampir 15 peratus daripada Belanjawan Negeri 2024,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.

Menurut beliau, rakyat wajar mempersoalkan keikhlasan kerajaan dalam mengurus dana tersebut, terutama sekali ketika negeri sedang menghampiri pembubaran DUN dan berkemungkinan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 selewat-lewatnya November ini.

“Lebih membimbangkan, peruntukan ini diluluskan dalam suasana negeri dijangka menghadapi pembubaran DUN dalam masa terdekat.
“Maka rakyat wajib bertanya, adakah segala peruntukan ini akan benar-benar digunakan demi manfaat rakyat, atau hanya sekadar angka cantik menjelang pilihan raya?” ujar beliau.

Ahmad yang juga Yang Dipertua PAS Kalabakan turut mengingatkan bahawa rakyat tidak boleh terus membisu terhadap perkembangan seumpama itu.

“Rakyat Sabah berhak tahu. Kita berhak persoal. Dan jika kita diam, itu bermakna kita rela dibisukan oleh angka. Tetapi jika kita bersuara, itu tanda kita masih peduli. Sabah Sejahtera, Kita Untuk Semua,” tegasnya.

Tegasnya, PAS Sabah komited untuk terus menjadi suara semak dan imbang bagi memastikan setiap tindakan kerajaan berpaksikan keadilan dan amanah terhadap rakyat, selaras dengan prinsip Islam yang mengutamakan ketelusan dan tanggungjawab. – HARAKAHDAILY 9/7/2025

- Advertisement -