Baca Qunut Nazilah, doa kehancuran rejim Zionis-Israel

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat menggesa seluruh umat Islam di serata dunia agar melazimi bacaan Qunut Nazilah sebagai senjata rohani untuk mendoakan kehancuran rejim Zionis Israel yang kini berdepan tekanan hasil serangan balas Iran.

- Advertisement -

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, Qunut Nazilah bukan sekadar doa, tetapi menjadi simbol kesatuan jiwa umat Islam dalam menentang kezaliman yang berpanjangan.

“Ia adalah perisai spiritual dan senjata yang tidak boleh dipandang remeh dalam menghadapi musuh Islam yang nyata,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.

Beliau merujuk kepada Operasi True Promise III yang dilancarkan Iran sebagai tindak balas terhadap pencerobohan dan tindakan ketenteraan rejim Zionis dalam Operasi Rising Lion, yang menurutnya membuktikan bahawa rejim Israel kini semakin terdesak.

“Ini amanifestasi bahawa rejim Zionis tidak lagi kebal dan tidak boleh terus berselindung di sebalik propaganda simpati antarabangsa. Dunia menyaksikan sendiri kezaliman sistematik ke atas rakyat Palestin di Gaza, satu jenayah kemanusiaan yang berlarutan lebih tujuh dekad,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mengingatkan bahawa umat Islam tidak wajar terus terperangkap dalam perbalahan mazhab seperti isu Syiah-Sunni, yang disifatkannya hanya akan melemahkan perpaduan ummah.

“Perbezaan mazhab perlu diraikan secara ilmiah, bukan dijadikan peluru untuk memecah-belahkan umat. Musuh sebenar ialah Zionis Israel dan setiap tenaga perlu digembleng ke arah penyatuan saf perjuangan,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya lagi, Dewan Ulamak PAS Pusat turut menegaskan bahawa keutamaan umat Islam ketika ini ialah solidariti, bukan retorik semata-mata.

Beliau turut menyeru semua institusi termasuk masjid, surau, sekolah dan individu Muslim untuk menjadikan Qunut Nazilah sebagai amalan tetap sehingga kemenangan berpihak kepada kebenaran. – HARAKAHDAILY 19/6/2025

- Advertisement -