Kos rawatan Nur Erika ditanggung sepenuhnya

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan menanggung sepenuhnya kos rawatan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Erika Alisya Mohd Zaidi, yang terlibat dalam kemalangan bas baru-baru ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kasim berkata, pihaknya telah menerima surat daripada Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, berhubung kos rawatan berjumlah RM18,588.

“Alhamdulillah, kita telah menghantar surat kelulusan atau ‘greenlight’ kepada pihak hospital bagi menyatakan bahawa kita akan menanggung semua kos yang terbabit.

“Kita mengharapkan keluarga dan juga pesakit tidak perlu risau dan bimbang kerana kos ini insya-Allah ditanggung oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Tabung Darul Iman,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, sebelum ini kerajaan negeri juga menanggung kos rawatan dua lagi pelajar terlibat iaitu Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan (RM2,900) dan Wan Nor Masyitah Wan Hussin (RM600), yang kini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing di Besut.

Tambah Maliaman, setakat ini terdapat dua lagi pesakit yang masih menerima rawatan di Hospital Ipoh, seorang di Hospital Taiping, seorang di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, seorang di Hospital Jerteh dan seorang lagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Saya sendiri telah melawat pesakit yang masih dirawat di hospital. Yang lain-lain telah pun berada di rumah masing-masing.

“Sekiranya masih ada keperluan kos rawatan perubatan yang belum dilaporkan, saya minta agar ia dimaklumkan kepada pusat khidmat masyarakat ADUN masing-masing untuk tindakan lanjut bersama Tabung Darul Iman,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2025

- Advertisement -