SIS: Tak terikat fatwa, tapi lantang terhadap Islam?

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais menyatakan kebimbangan apabila Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) boleh terlepas daripada terikat kepada fatwa semata-mata kerana statusnya sebagai sebuah syarikat.

- Advertisement -

Sedangkan organisasi itu lantang menyuarakan pandangan berkaitan prinsip dan ajaran Islam, ujarnya dalam penghakiman berbeza (dissenting judgment) daripada keputusan majoriti panel empat Hakim Mahkamah Persekutuan yang lain.

“Nama syarikat itu sendiri, SIS Forum (Malaysia) atau ‘Sisters in Islam’, dengan jelas mencerminkan identitinya. Adakah itu tidak cukup jelas?” katanya semasa penghakiman yang membenarkan rayuan SIS Forum mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Abu Bakar menegaskan, fatwa adalah urusan orang Islam dan pelaksanaannya hanya untuk masyarakat Islam, justeru Mahkamah Syariah seharusnya menjadi forum yang terbaik dan paling sesuai bagi menentukan keabsahan sesuatu fatwa.

Katanya, Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila memutuskan bahawa sejak ditubuhkan, SIS Forum sebagai perayu pertama, telah mengeluarkan kenyataan yang membabitkan perkara berkaitan Islam.

Beliau turut menolak hujahan bahawa hanya kerana SIS Forum berdaftar sebagai syarikat, maka ia tidak tertakluk kepada fatwa.

“Mengenai isu ini, saya terpanggil untuk menyatakan bahawa tumpuan mahkamah ini tidak seharusnya dibatasi oleh dakwaan bahawa oleh kerana perayu pertama adalah sebuah syarikat, maka ia tidak boleh tertakluk kepada fatwa tersebut.

“Adalah satu pendekatan yang bersifat mundur jika mengabaikan individu yang menyokong syarikat berkenaan dan semata-mata menyatakan bahawa oleh kerana ia adalah sebuah syarikat, maka ia tidak boleh terikat dengan fatwa itu,” katanya.

Menurut Abu Bakar, fatwa masih boleh terpakai kepada sesebuah pertubuhan kerana organisasi tidak boleh wujud tanpa individu yang menggerakkannya.

Beliau juga berpendapat, SIS Forum seharusnya membawa cabaran terhadap fatwa itu di Mahkamah Syariah dan tiada bukti menunjukkan perkara itu tidak boleh dilakukan.

Katanya lagi, walaupun terdapat hujahan berkaitan aspek penguatkuasaan fatwa oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN), intipati sebenar cabaran SIS Forum tetap berkisar kepada fatwa itu sendiri. – HARAKAHDAILY 19/6/2025

- Advertisement -