Nurul Izzah perlu desak PM tamatkan kontrak Azam Baki

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menuntut supaya Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersuara dan mendesak Perdana Menteri menamatkan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

- Advertisement -

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, tuntutan itu selaras dengan pendirian tegas yang pernah dinyatakan Nurul Izzah dalam kempen Pemilihan PKR sebelum ini.

Beliau berkata, isu itu kembali menjadi perhatian selepas Azam dilaporkan menerima penyambungan kontrak walaupun pernah terpalit kontroversi integriti berkaitan pemilikan saham yang mencetuskan krisis keyakinan rakyat terhadap SPRM.

“Ketika kempen Pemilihan PKR, baik pada 2022 mahupun yang terbaru pada 2025, Nurul Izzah secara terbuka menegaskan bahawa kepimpinan SPRM perlu dibersihkan demi memastikan reformasi institusi berjalan telus,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, setelah memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR, adalah menjadi tanggungjawab moral dan politik bagi Nurul Izzah untuk menunaikan janjinya dan membuktikan bahawa reformasi yang dilaungkan bukan sekadar retorik politik semasa berkempen.

“Sebagai anak kepada Perdana Menteri merangkap pemimpin kanan parti pemerintah, beliau berada pada posisi strategik untuk membawa suara reformasi dari dalam.

“Namun, kelihatan tiada sebarang reaksi mahupun pendirian jelas daripada beliau berhubung isu penyambungan kontrak Tan Sri Azam Baki setakat ini,” ujar Hanif.

Menurutnya, rakyat sedang memerhati dan menilai, justeru ketelusan dalam pelantikan jawatan penting seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah lambang komitmen sebenar terhadap reformasi dan pembanterasan rasuah.

“Kegagalan untuk bertindak tegas hanya akan mencemarkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan slogan-slogan perubahan yang dilaungkan,” terangnya.

Sehubungan itu katanya, Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak Nurul Izzah supaya menuntut Perdana Menteri menamatkan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM seperti yang pernah diperjuangkannya sebelum ini.

“Sesungguhnya konsistensi antara kata dan tindakan adalah ukuran sebenar keikhlasan perjuangan. Bukannya gelaran ‘Puteri Reformasi’ yang hanya lantang bersuara menggemakan dewan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/5/2025

- Advertisement -