
MARCAPADA ini, ancaman pemikiran dalam kalangan mahasiswa tatkala menuntut ilmu di menara gading semakin hangat diperkatakan. Berlaku perdebatan sama ada masalah kekeliruan ini berpunca dari tempat pengajian dalam atau luar negara. Suhu isu terbabit kian meningkat hangat dan terus menjadi tajuk perbualan utama dalam kalangan masyarakat awam.
Sebagai anak muda, tidak dinafikan pada usia lingkungan 18 tahun ke atas, merupakan sebuah fasa di mana seseorang individu cuba beradaptasi dengan dunia luar. Proses ini dipanggil sebagai penyesuaian sosial (Social Adaptation).
Akan tetapi, menjadi kebimbangan sekarang ini apabila individu tersebut berada pada fasa yang dipanggil ‘Identity Exploration’. Teori ini diperkenalkan oleh Erik Erikson (pakar psikologi sosial) di mana kaum muda pada fasa ini sedang mencari, mencuba dan membentuk identiti diri dari pengalaman dunia yang sebenar. Hal ini merujuk kepada proses individu secara giat aktif mencari nilai kepercayaan serta matlamat peribadi mereka.
Dalam konteks mahasiswa, kecelaruan pemikiran dan identiti sebenarnya boleh wujud di mana-mana sahaja, tanpa mengira status mahupun institusi pengajian. Ancaman serangan ideologi boleh wujud di mana-mana terutama apabila seseorang individu berada pada fasa ‘identity exploration’.
Terdapat beberapa jenis fahaman atau pemikiran yang mampu menjadikan mahasiswa sebagai ancaman dari sudut menggugat kestabilan sosial, keselamatan awam serta lebih malang lagi apabila mampu menghakis perpaduan kaum. Antara contohnya adalah ideologi liberalisme, fahaman komunisme, sekularisme, gender songsang (LGBTQ) pelampau etnik atau ideologi anti-kerajaan (Anarkisme).
Hakikatnya, tidak timbul isu kecelaruan pemikiran dalam konteks di mana tempat pengajian seseorang itu belajar, sama ada dalam negara mahupun luar negara. Realiti sebenar pada saat ini, serangan pemikiran dan fahaman melampau boleh berlaku dimana-mana sahaja.
Misalnya, ada yang pulang dari pengajian di negara Barat membawa fahaman liberal, namun ada juga yang belajar dalam negara tetapi tetap cenderung kepada fahaman yang sama.
Sebaliknya, ada juga yang belajar dalam negara menjadi insan yang baik, begitu juga yang pulang dari luar negara turut menjadi individu yang berpegang kepada nilai-nilai jati diri sebagai Muslim dan warganegara Malaysia.
Sedangkan, kita boleh melihat dari perspektif yang positif. Ramai ikon hebat Malaysia di pentas kebangsaan dan antarabangsa yang hadir dari pelbagai latar belakang pengajian dalam negara mahupun luar negara.
Sebagai contoh tokoh yang menuntut pengajian di negara luar seperti:
● Tan Sri Azman Mokhtar (tokoh korporat) lepasan Harvard University dalam bidang MBA.
● Tan Sri Dr Jemilah Mahmood (Pengasas MERCY Malaysia) dari Royal College of Obstetricians and Gynaecologists UK.
● Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Bekas Mufti Wilayah Persekutuan) merupakan alumni dari Universiti Al-Azhar, Mesir.
Begitu juga tokoh berjaya yang menuntut pengajian dalam negara seperti:
● Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim (tokoh ilmuan) lepasan dari Universiti Malaya bidang sejarah.
● Tan Sri Abdul Wahid Omar (tokoh korporat) merupakan graduan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bidang perundangan.
● Dr Ridhuan Tee Abdullah (Pendakwah) alumni dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam pengajian strategik dan dakwah.
Berbalik kepada perbincangan asal, perlu kita fahami dengan jelas bahawa universiti merupakan sebuah gedung ilmu yang sarat dengan pengetahuan pelbagai. Jika belajar di luar negara, bagi mereka itu adalah bonus untuk mempelajari budaya ditempat orang. Jika berada dalam negara, bagi mereka peluang itu sebenarnya wujud di luar perbatasan tembok universiti.
Merujuk kembali mengenai fasa ‘Identity Exploration’, semasa di usia muda, seseorang mahasiswa itu akan cuba untuk mengenali personaliti yang sebenar, kesungguhan minat, kelebihan dan bakat dalam diri. Justeru itu, mereka akan cuba mengambil inisiatif untuk mengembangkan potensi diri dan mengasah kemahiran yang perlu.
Sementelah itu, mereka akan mula meneroka ruang serta peluang yang ada dalam lingkungan kehidupan mereka di dunia luar. Melalui platform berpersatuan atau kelab, penglibatan program, forum, bengkel, kem, rangkaian kenalan dan carian internet.
Makanya, dari perspektif ini kita dapat ketahui bahawa sebenarnya ancaman pemikiran atau jarum halus akan wujud dalam dua dimensi iaitu ‘Internal’ dan ‘External’.
Faktor ‘Internal’ (dalaman)
Mungkin berpunca daripada pegangan agama yang lemah. Pemahaman agama yang masih kurang menyebabkan mereka tidak mempunyai kesedaran tentang hakikat sebenar, terutama sekali sebagai seorang Muslim. Hal ini menyebabkan nilai moral mereka mula goyah, kemudian cenderung menerima ideologi yang bertentangan dengan fitrah Islam.
Seterusnya, barangkali ia disebabkan pemikiran kritis yang lemah. Pengetahuan mereka yang kurang terhadap implikasi buruk berkenaan fahaman yang salah. Ini boleh dikaitkan dengan kurangnya pendedahan wacana seimbang bagi golongan muda. Mereka yang hanya sekadar mendengar satu sisi naratif tanpa merujuk kepada ahli nya, jadi secara langsung mudah terpengaruh dengan fahaman asing.
Dengan itu, sebenarnya faktor ‘internal’ (dalaman) ini lebih cenderung kepada diri individu. Perkara ini meliputi aspek rohani, mental dan pegangan agama seseorang insan.
Faktor ‘External’ (luaran)
Cetusan ledakan teknologi maklumat mampu menjadi faktor utama terhadap serangan pemikiran dalam kalangan pelajar. Dunia tanpa sempadan adalah istilah paling tepat untuk digambarkan.
Misalnya, penyebaran propaganda yang meluas melalui alat seperti media sosial, platform seperti TikTok, aplikasi X, Facebook dan sebagainya. Gerakan penyebaran fahaman melalui hiburan seperti muzik dan filem juga menjadi alternatif yang digunakan oleh individu atau kumpulan untuk menyebarkan ideologi mereka yang bersifat radikal, liberal, atau ekstrem secara halus dan tersusun.
Selain itu, campur tangan asing seperti badan NGO sering memperdaya golongan muda dengan membiayai program, kursus, bengkel yang berpotensi mendedahkan pelajar dengan ideologi asing. Jarum halus seperti forum hak asasi dan seminar kebebasan bersuara menjadi alat penyebaran propaganda asing. Di samping itu, rakan sebaya serta pensyarah juga dikira sebagai aktor yang mampu mempengaruhi seseorang mahasiswa.
Meskipun faktor luaran menunjukkan punca itu datang dari suasana persekitaran. Intipati dari perbincangan yang panjang lebar ini, kunci utama bagi mencegah permasalahan ini sebenarnya berbalik kepada individu terbabit. Mengamalkan prinsip tabayyun iaitu dengan kaedah menyelidik, meneliti serta menapis sebarang maklumat yang diterima. Perkara ini sebenarnya telah diajar dan dituntut dalam ajaran Islam.
Di samping itu, tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak amat signifikan. Menanamkan pemahaman yang jelas tentang kehidupan sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Pihak bertanggungjawab seperti kerajaan juga harus memainkan peranan dengan menerapkan kesedaran awal tentang bahana fahaman asing, melalui inisiatif kempen atau pendidikan awal. Hal ini secara langsung menunjukkan bahawa kepedulian serta intervensi semua pihak termasuk masyarakat sangat diperlukan dalam membendung isu ideologi asing dalam kalangan pelajar.
Tambahan lagi, sebagai seorang Muslim yang berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah. Perlu kita hayati tentang hakikat sebenar sebagai insan yang beragama Islam. Meskipun masa muda merupakan tempoh masa yang memiliki tenaga kuat, pemikiran tajam dan minat untuk meneroka sesuatu bidang dengan lebih mendalam. Hak serta batas agama perlu kita ketahui terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara.
Secara tuntas, kita sudah mengetahui ancaman pemikiran boleh berlaku dimana-mana sahaja, tanpa mengira latar belakang pengajian dalam atau luar negara. Ia boleh berlaku disebabkan dua faktor utama iaitu dalaman atau luaran. Punca segala permasalahan ini turut boleh dicegah melalui peranan tanggungjawab yang harus dilaksanakan secara kolektif.
Kehidupan sebagai mahasiswa lebih bermakna sekiranya kita mengetahui peranan sebenar kita adalah untuk kembali kepada masyarakat. Menjadi pelita yang membawa cahaya terang menyuluh seluruh kehidupan manusia.
Suka saya kongsikan mengenai kisah inspirasi daripada Dato’ Sheikh Zakaria Othman, CEO Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). Beliau sering menasihati para pelajar tajaan LZNK, agar mengetahui tanggungjawab besar sebagai seorang mahasiswa kepada rakyat.
Seorang pelajar Universiti Al-Azhar berkongsikan tentang bagaimana LZNK membantu para pelajar di Mesir. Agihan zakat yang diberikan adalah berdasarkan kepada prestasi akademik dimana pelajar mendapat kelulusan Mumtaz menerima RM12,000 setahun, Jayyid Jiddan RM10,000, Jayyid RM8,000 dan Maqbul sejumlah RM5,000.
Bukan setakat duit pengajian, tetapi LZNK juga memperuntukkan dana seperti RM3,000 untuk tiket kapal terbang, RM450 tajaan kursus Bahasa Arab, kursus intensif 3 hari sebelum penerbangan, program bina sahsiah dan kepimpinan sepanjang di Mesir serta dana khas untuk kelolaan MKKK (persatuan pelajar Kedah di Mesir).
Dalam hal ini, pendidikan sememangnya menjadi asbab utama batu loncatan untuk seorang individu berjaya. Seseorang itu dapat mempunyai kesedaran, apabila berjaya suatu hari nanti hendaklah pulang kembali mendidik masyarakat. Membina kembali tatanan sosial, dalam erti menjadi pelita kepada Ummah.
MUHAMMAD ASYRAF ANOR
Ketua Penerangan
Majlis Ikatan Mahasiswa Darul Aman
Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia – HARAKAHDAILY 11/5/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











