Harap hubungan erat pendidikan Pahang dan Jordan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Islam dan Perbankan daripada Universiti Yarmouk, Jordan.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penganugerahan itu diharap dapat mempererat hubungan dua hala antara universiti di Jordan dan institusi pendidikan di Pahang dalam pelbagai bidang pengajian.

“(Ia) di samping membuka lebih banyak ruang kerjasama yang bermanfaat, khususnya dalam usaha meningkatkan penghantaran lebih ramai anak-anak Pahang melanjutkan pengajian ke Jordan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang itu turut menggesa kerajaan agar mempertimbangkan kenaikan bantuan pendidikan kepada pelajar berikutan peningkatan kos sara hidup yang dihadapi mereka di Jordan.

“Kerajaan Pahang juga dicadangkan untuk mengambil peluang daripada hubungan baik ini dengan membuka ruang dan menawarkan peluang pendidikan di negeri Pahang kepada rakyat Jordan, khususnya di institut-institut pendidikan yang terdapat di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Wan Rosdy dilaporkan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Ekonomi Islam dan Perbankan daripada Universiti Yarmouk, Jordan, yang mencerminkan hubungan strategik sejak 2001 antara Pahang dan universiti itu.

Beliau menyampaikan syarahan umum mengenai pembangunan ekonomi Pahang berlandaskan prinsip Islam, termasuk pencapaian kutipan hasil lebih RM1 bilion dan KDNK RM64.9 bilion pada 2023.

Satu Memorandum Persefahaman dilaporkan turut ditandatangani bagi memperkukuh kerjasama Kursi Pahang dan bidang penyelidikan bersama. – HARAKAHDAILY 30/4/2025

- Advertisement -
- Advertisement -