
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menegaskan pendirian konsisten berhubung isu ‘tanah adat’ Orang Asli bahawa ia akan diurus berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini telah berbangkit isu berkaitan tanah adat Orang Asli dan telah diperjelaskan menurut undang-undang sedia ada.
Menteri Besar, Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, pendirian kerajaan negeri berasaskan kepada kedudukan rasmi undang-undang dan sistem pentadbiran tanah di Semenanjung Malaysia, khususnya di Kelantan.
Dalam penggulungannya semasa sidang itu menegaskan, perkara itu sebagaimana yang termaktub dalam Kanun Tanah Negara 1965, Akta Orang Asli 1954 serta enakmen-enakmen negeri yang berkaitan.
Secara prinsipnya, undang-undang bertulis di Semenanjung Malaysia, termasuk Kelantan, tidak mengiktiraf konsep ‘tanah adat’ seperti yang diamalkan di Sabah dan Sarawak.
Kedua-dua negeri tersebut mempunyai undang-undang khusus mengenai Orang Asal atau Peribumi (Native) yang berbeza dengan undang-undang di Semenanjung.
“Walau bagaimanapun, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli.
“Langkah mewartakan penempatan dan kawasan rayau Orang Asli melalui peruntukan perizaban di bawah Kanun Tanah Negara 1965 diambil.
“(Ia) bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti harian tanpa gangguan,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar hari ini.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri amat menghormati keluhuran undang-undang dan sentiasa komited untuk menjaga hak-hak yang diperuntukkan, selain memastikan dasar pentadbiran tanah negeri dilaksanakan secara teratur.
Pendirian ini dibuat berdasarkan undang-undang bertulis sedang berkuat kuasa, bukan melalui litigasi kes tertentu di mahkamah yang masih dalam peringkat rayuan.
Kerajaan Negeri Kelantan juga menegaskan bahawa setiap dasar berkaitan tanah dijalankan dengan penuh tertib berlandaskan prinsip undang-undang. – HARAKAHDAILY 28/4/2025











