
KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakshari Muhammad menitip nasihat kepada anak muda, lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau berkata, masa yang terluang selepas pengumuman keputusan SPM Khamis minggu lalu diperlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin termasuk mencari pengalaman baru untuk bantu keluarga.
Dalam masa yang sama katanya, golongan itu perlu mencari rakan yang boleh mencetuskan kejayaan, bukan bergaul dengan individu yang terlibat aktiviti tidak bermanfaat kepada diri dan masyarakat.
“Buat anak-anak lepasan SPM yang sedang menunggu langkah seterusnya, tempoh ini sangat penting, inilah masa yang bentuk diri, bukan sekadar berehat sahaja.
“Berkawanlah dengan orang yang memberi inspirasi, bukan yang tarik ke belakang, rangkaian yang baik hari ini boleh jadi peluang emas esok hari,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Alam Shah itu.
Selain itu masa terluang sekarang merupakan tempoh sesuai untuk membina disiplin dan melatih diri dengan usaha yang kecil setiap minggu selain mengasah pemikiran yang kritis dan kreatif.
Beliau berkata, ia dicapai menerusi pembacaan buku, mendengar perbahasan dalam media sosial ‘podcast’, menonton video bermanfaat untuk bina daya pemikiran matang dan menjana idea baru.
Namun, lebih penting katanya berbakti kepada keluarga dan komuniti, supaya mereka mengenali anak muda bukan sebab pencapaian pendidikan tetapi kerana kehebatan akhlak dan sikap yang baik.
“Tulis impian, susun langkah, jangan biar hidup ditentukan oleh nasib, tulis apa yang kita hendak capai dan mula fikir apa tindakan pertama yang boleh kita buat hari ini.
“Yakinlah, rezeki tak pernah salah alamat yang penting, kita bersedia untuk sambutnya,” katanya sambil berkongsi gambar surat penghargaan keputusan SPM ditandatangi Menteri Pendidikan pada tahun 1989. – HARAKAHDAILY 28/4/2025











