
PERAK mencatatkan angka ladang khinzir tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 114 ladang [1]. Ada aduan mengenai ladang yang wujud di kawasan berhampiran masyarakat setempat, mencemarkan sungai dan banyak lagi keburukan yang telah timbul.
Islam telah menyediakan panduan yang konkrit untuk mencermati hal ini. Antaranya penelitian terhadap karya Ibnu Khaldun. Beliau terkenal dengan karyanya yang bertajuk al Muqaddimah. Ia merupakan bab pertama bagi kitab al Ibar. Karya ini menjadi rujukan ribuan sarjana dahulu dan kini, di Timur dan Barat.
Idea-idea yang beliau lontarkan diambil daripada al Quran dan Hadis, diekstrak dengan cermat dan halus. Ia bukanlah idea kosong sepertimana tokoh falsafah Barat yang semata-mata bergantung kepada akal dan pengalaman semata-mata.
Pembangunan negara
Dalam karyanya itu, beliau ada melontarkan idea mengenai pembangunan bandar. Menurut beliau, negara yang baik perlu mengutamakan keselamatan dan kebersihan untuk mencapai ‘maqasid’ sebagai sebuah negara. Kedua dua elemen ini merupakan tujuan kewujudan sesebuah negara atau tamadun.
Kebersihan itu sendiri merupakan salah satu bentuk keselamatan yang sangat diperlukan oleh manusia. Sekiranya negara itu berpenyakit disebabkan pencemaran, maka suasana tersebut tidak lagi selamat untuk didiami. Justeru, negara yang tidak selamat dan berpenyakit telah melanggar maqasid kewujudan sesebuah negara.
Kebersihan
Dalam bab kebersihan, beliau mengutamakan kebersihan sungai sebagai sumber air, dan kebersihan udara sebagai sumber pernafasan. Kedua dua ini adalah keperluan yang ضروري bagi seseorang manusia.
Beliau mencadangkan supaya perladangan atau penternakan itu dibuat di luar kota, supaya menghasilkan sumber makanan yang baik, samada dari aspek binatang mahupun sayur sayuran (tumbuhan). [2]
Sebaliknya, perladangan sekiranya diusahakan di kawasan kota, bimbang berlakunya pencemaran najis, dan binatang ternakan tidak dapat hidup secara kondusif. Ini menyebabkan sumber makanan manusia turut terjejas. [2]
Perancangan bandar
Apa yang boleh kita fahami ialah, bukan semua tempat perlu dibangunkan untuk dijadikan bandar sepertimana keghairahan pemaju pada hari ini. Sebetulnya, perlu ada pembahagian (separation) kawasan untuk dibangunkan, dan kawasan untuk perladangan serta pertanian.
Aspek alam sekitar penting kerana persekitaran yang tercemar akan menyebabkan penularan virus dan penyakit. Antara prinsip yang beliau tekankan adalah kebersihan sungai. Apatah lagi ia merupakan sumber keperluan manusia, di samping ia dimanfaatkan oleh binatang ternakan di kawasan desa.
Bahaya khinzir
Khinzir adalah binatang yang diharamkan dalam Islam. Haiwan ini sendiri berbahaya untuk kesihatan manusia. Antaranya haiwan ini mengandungi bakteria berbahaya Yersinia enterocolitica [3]. Termasuk juga mengandung benih-benih cacing pita dan cacing-cacing lain [4].
Justeru, haiwan ini bukan sahaja tidak wajar dimakan sekalipun bukan Islam, bahkan ia tidak sepatutnya diternak, apatah lagi dikomersialkan. Perak mencatatkan sejarah penularan virus disebabkan khinzir beberapa kali.
1. Penularan Virus Nipah atau JE pada 1998/1999 yang bermula di Ipoh, kemudian tersebar ke negeri-negeri lain [5]
2. Demam Babi Afrika yang mula dikesan pada 2021. Sehingga Disember 2023 Perak mencatatkan 27 kes. [6]
Kesimpulan dan cadangan
Islam menekankan aspek persekitaran, kebersihan, pengasingan kawasan perladangan daripada penempatan dan sebagainya. Sistem Islam ini sebagai gambaran Islam bukan sekadar solat dan puasa sahaja. Akan tetapi menjangkaui pengurusan negara.
Khinzir adalah binatang yang berpenyakit dan pembawa virus. Ia telah diakui oleh sarjana Timur dan Barat, dan banyak kajian telah membuktikannya.
Justeru, perladangan khinzir itu sendiri perlu dikurangkan beransur-ansur, selain daripada kawalan ketat terhadap aktiviti perladangan tersebut. Penerangan juga perlu diberikan kepada para peladang agar menyedari bahaya haiwan ini.
Cadangan ini dilontarkan demi menjaga kesihatan dan keselamatan masyarakat, selaras dengan idea Ibnu Khaldun dalam pembinaan negara, yang diekstrak daripada penelitian terhadap al Quran dan Hadis.
MUHAMMAD MUJAHID Ir MOHAMMAD FADZIL
Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) – HARAKAHDAILY 23/4/2025
[1] https://jpvpk.gov.my/images/lokasi_ternakan/lokasi_ternakan_babi/TERNAKAN_BABI.htm
[2] Ibn Khaldun, al Ibar, Darul Fikr, Beirut, cet. Pertama 1981, hal 432-434
[3] https://articles.mercola.com/sites/articles/archive/2012/12/12/eating-pork.aspx
https://www.consumerreports.org/cro/magazine/2013/01/what-s-in-that-pork/index.htm
[4] Ijtihadat fi al-Tafsir al-Quran al-Karim
[5] https://www.mjpath.org.my/2007.2/02Nipah_Virus_lessons.pdf
[6] https://www.sinarharian.com.my/article/637514/edisi/perak/perak-rekod-27-kes-demam-babi-afrika











