Pertandingan wau hidupkan semula warisan lama

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Pertandingan wau di Kampung Tanjung Besar, Kubang Rotan, di sini berlangsung dengan meriah, walaupun petak-petak sawah becak akibat cuaca tidak menentu.

- Advertisement -

Penduduk kelihatan bersemangat menunjukkan kemahiran masing-masing meneruskan seni permainan tradisional yang sudah terkenal sejak berzaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Dato’ Mohd Salleh Saidin, yang berkesempatan bersama para peserta, turut teruja dengan semangat ditunjukkan oleh mereka.

“Syabas kepada semua peserta yang telah menunjukkan semangat juang dan kecintaan terhadap khazanah bangsa, termasuk yang memberi sokongan menyemarakkan suasana,” kata beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Keusahawanan itu berkata, acara yang diadakan setiap tahun sejak empat tahun lalu, turut merapatkan ukhuwah sesama peserta.

Bahkan juga kata beliau, menghidupkan kembali warisan leluhur dan mengangkat martabat seni budaya tradisional ke persada yang lebih tinggi.

“Apatah lagi tahun ini merupakan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, pastinya pertandingan yang penuh warna warni ini akan menjadi tarikan pengunjung luar,” tambah beliau.

Acara seperti ini bukan sahaja sekadar pertandingan, malah ia juga merupakan manifestasi kecintaan terhadap akar budaya.

“Saya amat bangga kerana DUN Kubang Rotan menjadi antara medan tempat seni warisan seperti ini subur berkembang,” kata beliau penuh semangat. – HARAKAHDAILY 15/4/2025

- Advertisement -