
JERAI: Kerajaan negeri tidak hanya berusaha memberi fokus kepada kemajuan kebendaan semata-mata, sebaliknya mengembalikan kegemilangan ilmu yang pernah dicapai oleh Kedah suatu ketika dahulu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abdul Samat berkata, Kerajaan Kedah Tua pernah satu ketika dahulu menjadi pusat ilmu bergandingan dengan Acheh pada waktu itu.
Oleh itu katanya, tidak mustahil kegemilangan itu mampu dicapai semula sekira usaha ke arah itu dilakukan bersungguh-sungguh.
“Ilmu dan pendidikan juga menjadi asas penting untuk mencapai kegemilangan dalam kerangka The Greater Kedah,” kata beliau ketika merasmikan Kuliah Dhuha Perdana, bertempat di Sekolah Menengah Islam Darul Izzah (SMIDI), di sini semalam.
Selain itu jelasnya, antara gagasan yang diletakkan di peringkat kerajaan khususnya bagi hal ehwal agama dan pendidikan adalah menyuburkan majlis ilmu dan program-program pembudayaan ilmu.
Selain menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu, turut mengangkat institusi pondok dan sekolah agama di negeri ini ke tahap yang lebih baik.
Justeru jelasnya lagi, pelbagai usaha sedang dan telah dilaksanakan menjadikan ilmu sebagai perkara asas untuk diberi keutamaan kepada seluruh rakyat Kedah.
“Contohnya, kerajaan negeri sentiasa komited dalam usaha menyuburkan program Raudhatul Ilmi dan mengangkat institusi pendidikan Islam dengan program seperti Kuliah Dhuha Mentaloon.
“Juga kuliah-kuliah di masjid, program Nur Ala Nur di jabatan-jabatan kerajaan dan banyak lagi,” kata beliau pada majlis menampilkan tokoh ulama nusantara, Syeikh Nuruddin Al-Banjari, bertajuk ‘Syawal: Ujian Istiqamah Selepas Ramadan’. – HARAKAHDAILY 15/4/2025












