
LEBIH 250 orang bekas pegawai agensi perisikan Israel, Mossad telah menandatangani petisyen pada Ahad (13 Apr 2025) menggesa perang di Gaza ditamatkan serta-merta bagi memudahkan pembebasan semua baki tebusan, menurut media Israel.
Sejak hari Khamis minggu lalu, sekurang-kurangnya enam petisyen telah ditandatangani oleh anggota simpanan, pegawai bersara dan veteran dari pelbagai cabang tentera Israel.
Petisyen itu meningkatkan perbezaan pendapat awam di kalangan anggota keselamatan Israel.
Terdahulu, beratus-ratus tentera Israel daripada pelbagai unit, termasuk pasukan elit dan khas, telah menandatangani petisyen menggesa kerajaan mengusahakan perjanjian pertukaran tahanan dan menamatkan perang yang sedang berlaku di Gaza.
Petisyen itu, yang ditandatangani oleh anggota dari unit perisikan 8200, Sayeret Matkal, Shayetet, Shaldag dan bahagian ketenteraan yang lain. Mereka menuntut penyelesaian kepada krisis kemanusiaan dan ketenteraan yang mencengkam kedua-dua pihak sejak bulan Oktober 2023.
Petisyen sebelum ini telah ditandatangani oleh kira-kira 1,000 orang kakitangan tentera udara, 1,000 ahli akademik, beratus-ratus daripada kor perisai dan tentera laut, berpuluh-puluh doktor tentera simpanan dan ratusan daripada Unit 8200. Terbaharu, ratusan tentera daripada pelbagai unit operasi.
Antara 20 hingga 30 peratus daripada keseluruhan yang menandatangani petisyen tersebut adalah anggota simpanan yang aktif, menambah pertelingkahan pendapat yang semakin ketara dalam barisan elit tentera.
Peperangan sejak lebih 18 bulan lalu telah mengakibatkan kemudaratan besar kepada penduduk awam yang tidak berdaya di Gaza.
Mereka yang menandatangan petisyen menyalahkan kempen perang yang berterusan atas pertimbangan politik Netanyahu dan meletakkan tanggungjawab penuh ke atas Perdana Menteri Israel itu.
Peperangan itu hanya bermotifkan kepentingan politik dan peribadi, bukan kepentingan keselamatan negara. Peperangan yang diteruskan ini akan mengakibatkan kematian tebusan, tentera dan orang awam yang tidak bersalah.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah memberi respon berulang kali untuk memecat mana-mana tentera yang didapati telah menandatangani petisyen ini.
Dalam perkembangan itu, Mesir dan Qatar dilaporkan terus komited untuk menjadi negara perantara dalam rundingan gencatan senjata dan pertukaran tahanan antara Israel dan HAMAS.
Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty memaklumkan beliau dan rakan sejawatan dari Qatar berusaha untuk memuktamadkan satu perjanjian yang dapat melegakan kedua-dua belah pihak.
Sehingga hari ini, usaha untuk memulihkan gencatan senjata dan membebaskan lebih ramai tebusan dilihat masih kabur dan gagal.
IMRAN AL-MALIZI
14 April 2025 – HARAKAHDAILY 14/4/2025











