
KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya menurunkan lebih 50 peratus jumlah nilai rampasan dadah di Kelantan bagi tiga bulan pertama tahun ini.
Kejayaan itu diperolehi susulan penguatkuasaan larangan merentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sejak akhir tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata nilai rampasan direkodkan tahun ini hingga Mac lalu lebih RM2.2 juta berbanding RM5.3 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata, jumlah dadah terbabit menurun walaupun jenayah narkotik dalam tempoh berkenaan mencatat 7,138 kes berbanding 7,056 pada tahun lepas.
“Penurunan nilai rampasan sebanyak 58 peratus atau kira-kira RM3 juta itu adalah satu pencapaian besar bagi pihak kita (polis Kelantan) kerana berjaya mengekang penyeludupan dadah.
“Kejayaan ini adalah berikutan larangan untuk mana-mana individu menggunakan pangkalan haram menyeberangi sempadan negara dan Thailand di sepanjang Sungai Golok berkuat kuasa 1 Disember tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini semalam.
Pada masa sama, Mohd Yusoff berkata, indeks jenayah di Kelantan bagi tiga bulan pertama tahun ini juga menunjukkan penurunan sebanyak 17 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, 462 kes direkodkan dalam tempoh suku pertama tahun ini, menurun 95 kes berbanding 557 pada tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak bagi jenayah kekerasan, kes rogol meningkat sebanyak lima kes atau bersamaan 15.6 peratus, samun bersenjata api meningkat satu kes, dan membabitkan kecederaan meningkat sebanyak tiga kes. – HARAKAHDAILY 10/4/2025











