
PADANG BESAR: Ustaz Mohd Ridzuan Hashim menjamin kemudahan sukan yang uzur dan tidak selamat akan dikenal pasti dan dibaik pulih segera demi kesejahteraan serta keselamatan golongan belia dan komuniti setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri itu berkata demikian ketika mengadakan lawatan bersama Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri, Hasmah Hasan.
Turut serta Pegawai Pembangunan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri, Khairul Pating Bukhari ke beberapa gelanggang futsal dan gelanggang bola tampar pantai sekitar Padang Jelutong, Kampung Lati dan Kampung Baru Kok Klang pagi tadi.
“Lawatan ini penting untuk kita lihat sendiri keadaan kemudahan sukan yang ada. Kita mahu pastikan ia bukan sahaja selamat digunakan, tetapi juga selesa serta menarik minat belia untuk terus aktif bersukan,” ujar beliau.
Menurutnya, beberapa cadangan penambahbaikan telah dikemukakan dan satu laporan penuh akan dibentangkan dalam mesyuarat akan datang untuk tindakan susulan oleh kerajaan negeri.
Turut serta dalam lawatan ini ialah ADUN Chuping, Saad Seman; Pengerusi MPKK Kampung Baru, Faizal Mat Isa; Pengerusi MPKK Sena, Dahalan Ramli; serta jurulatih bola tampar, Faiz Putra Abd Razak.
Komitmen pelbagai pihak dalam meninjau serta membaik pulih kemudahan sukan ini jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memartabatkan gaya hidup sihat dan pembangunan belia di peringkat akar umbi. – HARAKAHDAILY 10/4/2025













