Insiden Putra Heights menggemparkan

Keadaan kebakaran yang dirakamkan oleh orang ramai. - Gambar media sosial
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gegaran kuat hingga ada penduduk menyangka gempa bumi berlaku, rumah rosak teruk, kereta terbakar, penduduk mengalami luka, melecur dan sukar bernafas.

Sebahagian penduduk terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana kediaman tidak lagi selamat.

- Advertisement -

Penduduk dalam media sosial pula melaporkan bahawa api yang menjulang tinggi dapat dilihat berkilometer jauhnya dari tempat kejadian.

Inilah yang berlaku apabila kira-kira jam 8.10 pagi tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM) menerima panggilan awal mengenai kebakaran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa hanya paip gas utama yang terjejas. Injap paip tersebut telah ditutup, namun kebakaran dijangka berterusan hingga gas yang tertinggal habis terbakar.

Mengikut laporan awal, 25 penduduk diberi rawatan awal di sebuah kuil berhampiran, manakala yang lebih serius dikejarkan ke Hospital Putrajaya, Cuberjaya dan Serdang.

Rumah dan kereta yang rosak teruk akibat kebakaran di Putra Heights. – Gambar Media sosial
Keadaan kawasan kediaman yang terletak bverhampiran tempat kebakaran. – Gambar Media sosial.
Beberapa bahagian kereta cair akibat bahang dari kebakaran akibat letupan saluran paip gas PETRONAS.Gambar Media Sosial

PETRONAS Gas Berhad (PGB) pula mengesahkan berlaku kebakaran di saluran paip utama berhampiran Putra Heights, Puchong.

Dalam kenyataan itu, PGB menyatakan bahawa saluran paip utama gas bawah tanah yang menjadi punca kebakaran besar itu sudah diasingkan manakala pihak berkepentingan turut dimaklumkan berhubung perkara itu.

“Stesen runcit PETRONAS berhampiran lokasi kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights tidak terjejas,” kata kenyataan itu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Polis Mohd Zaini Abu Hassan, seramai 112 penduduk di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru cedera dalam kejadian itu.

Katanya, jumlah penduduk itu adalah penghuni 49 kediaman yang terjejas terdiri daripada 37 rumah di Taman Harmoni dan 12 rumah di Kampung Sungai Baru. – HARAKAHDAILY 1/4/2025

- Advertisement -