Kompleks PAS Pusat: PAS Kelantan serah dana lebih RM1 juta

- Advertisement -

BACHOK: Sebanyak RM541,414 derma berjaya disumbangkan oleh 14 PAS Kawasan di Kelantan kepada Dana Kompleks PAS Pusat sempena Majlis Nuzul al Quran dan Ceramah Badar al Kubra, malam kelmarin.

- Advertisement -

Ia merupakan sumbangan kedua oleh PAS Kelantan selepas berjaya mengumpulkan sebanyak RM586,512 pada tahun lalu, kata Setiausaha PAS Negeri Kelantan, Dato’ Ustaz Wan Roslan Wan Hamat.

“Kita minta PAS-PAS Kawasan menyerahkan kutipan tersebut pada malam ini sempena dengan majlis malam ini, Nuzul al Quran, antara amalan yang sangat digalakan agama pada bulan Ramadan ini ialah sedekah.

“Kita lancar kutipan dana ini supaya PAS Pusat berjaya membayar harga yang telah ditetapkan oleh pemilik tanah dan kita harapkan kita sama menikmati hasrat PAS Pusat ada kompleksnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghayatan Nuzul al Quran dan Ceramah Badar al Kubra PAS Negeri Kelantan di Kompleks Pendidikan Islam (KPI) Kampung Badak, di sini malam kelmarin.

Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud dan Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah serta Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Penyerahan tersebut disampaikan kepada Naib Presiden PAS merangkap Pengerusi Pungutan Dana Kompleks PAS Pusat, Datuk Idris Ahmad yang hadir merasmikan acara tahunan anjuran PAS Kawasan Bachok itu.

Untuk kali ini PAS Kawasan Kota Bharu menyerahkan RM73,652, Bachok RM70,000, Kuala Krai RM68,700, Gua Musang RM62,400, Pasir Puteh RM58,365, Tumpat RM57,500 dan Pengkalan Chepa sebanyak RM51,626.

Sementara itu PAS Kawasan Kubang Kerian menyumbang sebanyak RM34,171 dan Tanah Merah RM15,000 serta RM10,000 masing-masing diserahkan oleh Machang, Jeli, Ketereh, Rantau Panjang dan Pasir Mas.

Selain kutipan dana Kompleks PAS Pusat dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, PAS Kelantan turut melancarkan kempen pungutan derma membantu PAS Sabah hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN). – HARAKAHDAILY 20/3/2025

- Advertisement -