
SHAH ALAM: Pemuda PAS Selangor membidas kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menuduh PAS mengamalkan rundingan terus dalam projek tebatan banjir di Kelantan.
Terdahulu, Anwar yang juga Presiden PKR dalam nada sinis berkata, tiada kemajuan yang dilakukan oleh PAS di Kelantan walaupun menjadi kerajaan negeri dalam tempoh yang lama.
“PAS perintah Kelantan dan dalam 33 bulan memerintah (Pusat), apa yang mereka buat? Ada program tebatan banjir yang boleh menyelesaikan? Tidak. Yang ada program tebatan banjir rundingan terus.
“Tahu erti maksud rundingan terus? Dia rundingan terus, masuk (poket). Kita sekarang menghalang rundingan terus, mesti ada proses standard,” katanya dalam satu program di sini.
Ketuanya Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar menegaskan bahawa tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab seorang Perdana Menteri.
“Sepatutnya mengemukakan dasar membina, bukan sibuk menyerang lawan politik dengan tuduhan liar. Hakikatnya, PAS telah memerintah Kelantan lebih tiga dekad dengan rekod yang paling cemerlang dalam aspek integriti – bebas daripada skandal rasuah besar.
“Ini adalah pencapaian yang tidak dapat disangkal, dan sepatutnya menjadi contoh kepada Kerajaan Pusat yang silih berganti dicemari dengan kes salah guna kuasa.
“Jika benar dakwaan Perdana Menteri, sila kemukakan bukti yang sah, bukan sekadar beretorik demi mengaburi kegagalan pentadbiran sendiri,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.
Sukri yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam, turut menyelar sikap Anwar yang sering bercakap mengenai politik perpaduan dan konsep Malaysia Madani, tetapi pada masa sama menyerang pembangkang dengan tuduhan tidak disertakan bukti.
“Lebih mengecewakan, kenyataan seperti ini datang dari seorang Perdana Menteri yang berulang kali menyeru politik perpaduan dan madani, tetapi tindakannya penuh dengan sindiran, tuduhan, dan polemik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.
“Jika beliau serius mahu membela rakyat, fokuslah kepada penyelesaian masalah utama negara seperti kos sara hidup yang semakin menekan, nilai ringgit yang merudum, serta ketidakyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, PAS bukan sekadar terbukti berintegriti dalam pentadbiran, malah turut berjaya menjaga perpaduan kaum dengan prinsip keadilan yang sejati.
“Tidak pernah ada rekod ketegangan kaum akibat dasar kerajaan PAS. Ini jauh berbeza dengan retorik politik perkauman dan sentimen yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu untuk menutup kelemahan sendiri,” katanya.
Justeru, Pemuda PAS Selangor menegaskan bahawa tuduhan liar seperti itu tidak akan menggugat perjuangan mereka untuk menegakkan kepimpinan yang bersih, amanah dan berkebajikan
“Sebaliknya, ia hanya membuktikan kegelisahan pihak lawan yang semakin hilang kepercayaan rakyat akibat kegagalan mereka sendiri.
“Pemimpin yang benar-benar ingin membela rakyat tidak akan sibuk menyerang lawan, tetapi akan bekerja keras mencari penyelesaian untuk kesejahteraan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2025











