ADN PN Selangor gerak peranan pembangkang

- Advertisement -

SHAH ALAM: Peranan pembangkang dalam sidang Dewan Negeri Selangor bukan menentang dasar kerajaan, tetapi berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan kepentingan rakyat terpelihara.

- Advertisement -

Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Jefri Mejan berkata, Sidang Dewan Negeri merangkumi pelbagai aturan mesyuarat, antaranya pembentangan kertas mesyuarat, sesi soal jawab dengan Menteri Besar serta barisan Exco, perbahasan dan penggulungan dasar kerajaan.

“Kami sebagai ADUN pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) di dalam Dewan Negeri bukanlah tugas yang mudah. Ramai yang tertanya-tanya tentang fungsi sebenar sidang ini.

“Antara peranan kami adalah membentangkan soalan kepada Menteri Besar, berbahas, mencadangkan dasar serta mendengar penggulungan pihak kerajaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Khamis.

Beliau turut menekankan kepentingan kehadiran penuh ADUN sepanjang sidang berlangsung bagi memastikan suara rakyat dapat disampaikan secara berkesan.

Beliau berkata, sidang kali ini membahaskan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di mana ADUN berpeluang menyampaikan pandangan serta membangkitkan isu-isu penting rakyat.

“Namun yang paling utama adalah pelaksanaan oleh pihak kerajaan negeri agar rakyat dapat menikmati hasilnya. Saya akan terus komited menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat Ijok,” katanya.

Justeru, beliau berharap dengan penjelasan ini, masyarakat lebih memahami peranan pembangkang dalam memastikan ketelusan serta kesejahteraan rakyat di Selangor. – HARAKAHDAILY 21/2/2025

- Advertisement -