
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu diminta memberi perhatian serius terhadap dua aspek utama untuk memperbaiki ekonomi negeri ini, iaitu menambah jumlah populasi dan mendapatkan peruntukan pembangunan lebih besar daripada Kerajaan Persekutuan.
Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS), Eikhwan Ali berkata, peningkatan populasi boleh dicapai melalui kadar kelahiran lebih tinggi, migrasi untuk tujuan pendidikan, pekerjaan dan persaraan serta peningkatan jumlah pelawat domestik, terutamanya pelancong.
“Di Semenanjung Malaysia, negeri-negeri yang boleh disifatkan sebagai maju seperti Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perak dan Pahang yang mempunyai nilai KDNK besar, antaranya adalah disokong oleh jumlah populasi besar dan perbelanjaan pembangunan besar yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Rancangan-rancangan Malaysia.
“Jumlah populasi yang besar melebihi 17 juta orang di negeri-negeri ini menggambarkan saiz permintaan dan perbelanjaan juga besar dalam pasaran tersebut, sekali gus merupakan pasaran berdaya maju (viable) untuk perniagaan. Disebabkan itu, lebih 50 peratus jumlah PMKS dari seluruh negara beroperasi di negeri-negeri ini; berbanding hanya sekitar tiga peratus di Terengganu.
“Jumlah penduduk dan peniaga yang ramai ini juga memberikan kelebihan kepada kerajaan negeri dalam memperoleh hasil yang lebih banyak terutamanya hasil bukan cukai iaitu menerusi pelbagai perkhidmatan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengenai perbelanjaan pembangunan pula kata beliau, menerusi empat Rolling Plan RMKe-12 setakat ini, Kerajaan Persekutuan membelanjakan lebih RM40 bilion untuk kelima-lima negeri itu berbanding hanya sekitar RM4.2 bilion sahaja untuk Terengganu.
Beliau berkata, Johor, Selangor, Perak dan Pahang juga merupakan antara negeri yang merekodkan jumlah terimaan tertinggi pelbagai pemberian oleh Kerajaan Persekutuan.
“Justeru, tidak hairanlah negeri-negeri ini mempunyai infrastruktur pengangkutan, utiliti dan komunikasi yang jauh lebih baik berbanding negeri-negeri lain.
“Negeri-negeri ini juga mendapat kelebihan perdagangan daripada pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pulau Pinang serta KLIA, KLIA2, Senai International Airport dan Penang International Airport di tambah pula dengan jaringan lebuh raya yang menghubungkan dengan banyak destinasi.
“Kemudahan-kemudahan ini sangat penting untuk kemampanan ekonomi sesebuah negeri terutamanya dalam merapatkan jurang jarak, masa dan kos untuk perbekalan bahan mentah dan manarik pelaburan asing untuk mempercepat pembangunan dan menambah peluang pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, menurut Eikhwan, Terengganu walaupun mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang stabil, namun masih ketinggalan dalam aspek infrastruktur berbanding negeri-negeri tersebut.
“Terengganu yang tiada lapangan terbang dan pelabuhan bertaraf antarabangsa, Lebuhraya Pantai Timur (LPT1 & LPT2) juga hanya menghubungkannya dengan Pahang dan Selangor, Kuala Lumpur.
“Setelah 68 tahun sejak Rancangan Malaya Pertama diperkenalkan, saiz ekonomi Terengganu sekarang hanya 2.5 peratus daripada saiz ekonomi negara.
“Terbukti, betapa terpinggirnya negeri ini sejak dahulu. Tidak mudah untuk membawa keluar negeri ini daripada keterpinggiran ini lebih-lebih lagi oleh Kerajaan Negeri yang baru memasuki penggal kedua,” katanya.
Walaupun begitu, beliau memuji kerajaan negeri yang telah mencatatkan peningkatan dalam kadar pertumbuhan ekonomi lebih baik berbanding beberapa negeri maju, terutamanya selepas pemulihan ekonomi pasca-pandemik Covid-19 pada 2021.
“Memanglah Terengganu masih belum menyaingi negeri-negeri maju yang lain, namun sekurang-kurangnya ekonominya menunjukkan momentum pertumbuhan yang stabil apabila merekodkan perubahan dalam kadar pertumbuhan (change in growth rate) yang lebih baik.
“(Iaitu) berbanding negeri-negeri lain (termasuk Johor, Pulau Pinang dan Pahang) terutamanya semasa pemulihan pasca pandemik Covid-19 pada 2021 dan dalam menghadapi herotan ekonomi pada 2023,” katanya.
Tambahnya yang juga Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Terengganu, kerajaan negeri perlu berusaha mendapatkan peruntukan pembangunan yang lebih besar daripada Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
Eikhwan mencadangkan agar mekanisme pemberian peruntukan ini lebih adil dan mengambil kira kesenjangan ekonomi antara negeri-negeri, bukannya hanya berdasarkan jumlah per kapita penduduk sahaja. – HARAKAHDAILY 18/2/2025











