
JASIN: PAS Melaka menzahirkan kekecewaan atas kejadian melibatkan dua individu termasuk seorang kakitangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan dana ratusan ribu ringgit baru-baru ini.
Ketua Penerangan PAS Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata, MAIM sebagai sebuah agensi agama seharusnya menjadi badan paling bersih dalam agensi kerajaan kerana ia membawa nama Islam.
“Penyelewengan dan rasuah adalah sesuatu yang sangat menjijikkan dan harus dibanteras secara menyeluruh, lebih-lebih lagi apabila melibatkan agensi berteraskan agama Islam.
“Selain itu, pembanterasan penyelewengan dan rasuah haruslah tidak bersifat terpilih dan hanya melibatkan ikan-ikan bilis sahaja tetapi jerung-jerung bebas dan kebal.
“Rasuah dan penyelewengan haruslah dibenci dengan sepenuh hati dan bukan sekadar digunakan untuk menjatuhkan individu tertentu semata-mata.
“Atau sekadar untuk meletakkan mana-mana pihak sebagai kambing hitam untuk menutup sesuatu skandal yang lebih besar atau melindungi individu yang berstatus kenamaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau dalam pada itu meletakkan kepercayaan terhadap Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri Melaka yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub bagi memastikan skandal ini disiasat sehingga ke akar umbi.
“Sama-samalah kita mendoakan agar Negeri Melaka terlindung dan bebas daripada penyelewengan atau rasuah yang boleh menghancurkan masa depan negeri dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/2/2025











