Segerakan panduan Muslim babit agama bukan-Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan berpandangan bahawa penyediaan Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Perayaan Keagamaan Selain Islam perlu disegerakan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Mohd Asri Daud berkata, perkara itu amat penting bagi memastikan umat Islam mempunyai panduan jelas dalam isu tersebut.

Baru-baru ini Menteri Hal Ehwal Islam memaklumkan bahawa garis panduan itu sedang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ia dijadualkan untuk dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-126.

Bagaimanapun, isu ini telah mendapat pelbagai reaksi daripada pemimpin negara sehingga dibawa semula ke Kabinet untuk perbincangan lanjut.

“Garis panduan ini hanya melibatkan umat Islam, sementara fatwa berkaitan penglibatan dalam perayaan keagamaan bukan-Islam telah pun wujud di beberapa peringkat,” katanya.

Menurut Asri, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 12 Jun 2007 telah menetapkan bahawa ucapan tahniah kepada bukan Islam sempena perayaan mereka adalah harus, dengan syarat tidak mengandungi unsur mengiktiraf atau memuliakan agama lain.

Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 22 Januari 2019 turut memutuskan bahawa umat Islam dilarang menghadiri majlis yang melibatkan upacara keagamaan agama lain.

Katanya, Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) juga melarang umat Islam daripada menghadiri ritual keagamaan bukan Islam.

“Manakala Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 25 Mac 1987 pula menegaskan bahawa pembesar Islam tidak boleh merasmikan rumah ibadat bukan-Islam.

“Kecuali jika ia boleh mengelakkan perpecahan kaum, dengan syarat tidak menyertai upacara ibadat mereka,” kemuka beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit.

Menurut Asri lagi, kesemua fatwa ini boleh disusun sebagai garis panduan rasmi bagi memberikan kejelasan kepada umat Islam mengenai batas pergaulan dalam perayaan agama lain.

“Garis panduan ini bukan sahaja memberi panduan kepada umat Islam, malah ia juga dapat membantu masyarakat bukan Islam memahami batas perayaan keagamaan agar tidak timbul salah faham atau persengketaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penyediaan garis panduan ini penting dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia bagi memastikan keharmonian dan saling menghormati antara agama terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 18/2/2025

- Advertisement -