‘Kecewa video promosi TMM26 tak ada gambar masjid’

Nurul Amin Hamid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap), menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memperkukuhkan strategi dalam menarik lebih ramai pelancong Muslim ke Malaysia.

- Advertisement -

Beliau menekankan kejayaan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Muslim terbaik pada tahun 2022 dengan kehadiran dua juta pelancong Muslim.

Namun, beliau menyatakan kekecewaannya terhadap video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM26) yang tidak memaparkan masjid sebagai sebahagian daripada daya tarikan negara.

“Soalan saya kepada Yang Berhormat Menteri, apakah strategi dan program yang dilaksanakan oleh MOTAC melalui agensi di bawahnya, iaitu Islamic Tourism Centre (ITC), bagi meningkatkan pelancong Muslim di Malaysia?

“Sebab saya kecewa video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 tak ada gambar-gambar masjid untuk menunjukkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terbaik untuk pelancongan Muslim,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing dalam jawapannya berkata, masalah utama ialah salah faham mengenai video yang dilancarkan, di mana ia hanya bertujuan untuk mempromosikan logo, bukan kandungan video itu sendiri.

Menurutnya, kerajaan sedang berusaha menggalakkan pelancongan keluarga dan memperluaskan promosi ke pasaran besar seperti China, yang mempunyai ramai pelancong dengan perbelanjaan tinggi.

Tambahnya, beliau mengharapkan semua pihak dapat bersama-sama menyokong kempen pelancongan Malaysia untuk mencapai kejayaan.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan perancangan utama Kementerian untuk mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan berapa jumlah pelancong yang disasarkan oleh Kementerian yang akan datang ke Malaysia. Senaraikan acara-acara yang akan dilancarkan (main events). – HARAKAHDAILY 18/2/2025

- Advertisement -