
KUALA LUMPUR: Zakri Hassan (PN-Kangar) bertanyakan apakah pelan jangka panjang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kekal relevan selepas menjangkau usia lebih 60 tahun.
“Apa pelan jangka pendek KPM dalam memastikan calon SPM hadir menduduki peperiksaan disebabkan kurang minat dan berkebolehan dalam menjawab peperiksaan?” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who berkata, pihak KPM mengambil inisiatif dan melaksanakan intervensi awal terhadap anak-anak yang mungkin berisiko kecil ataupun risiko berkecenderungan tidak hadir menduduki peperiksaan SPM.
“Tahun lepas dan tahun ini, KPM berkolaborasi bersama Kementerian Kewangan mengadakan satu program di mana fokusnya berkenaan dengan pemecutan ataupun pengendalian calon-calon SPM kita.
“Tahun ini sahaja, seramai 20,000 calon SPM yang terpilih di bawah program anak kita menerima bantuan kit peranti ataupun tablet bagi memastikan tiada murid berhadapan masalah keciciran pembelajaran seterusnya menangani isu ketidakhadiran calon,” katanya.
Zakri dalam soalan asalnya meminta Menteri Pendidikan menyatakan langkah intervensi segera KPM terhadap calon SPM 2024 yang tidak menduduki peperiksaan SPM di mana kira-kira 10,000 calon SPM dilaporkan tidak hadir kertas pertama peperiksaan, sama ada mereka akan diberi peluang untuk menduduki SPM sesi kedua. – HARAKAHDAILY 18/2/2025











