
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, DAP akan terus menghantar wakil-wakilnya untuk ‘memperbodohkan’ rakyat dan umat Islam di negara ini.
Ia susulan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu Islam dan bukan-Islam.
“(Ia) Seolah menyamakan peranan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) di peringkat Persekutuan. Bukan setakat dangkal, mengarut.
“Malah ini contoh peranan DAP untuk mencucuh isu-isu yang berkaitan perkauman dan sensitiviti agama seolah-olah mencabar-cabar Perlembagaan,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Tambah beliau, terdapat segelintir pemimpin dalam kerajaan yang hanya berdiam diri demi kepentingan politik dan mempertahankan kedudukan mereka semata-mata.
“Lebih malang, ada makhluk kononnya pejuang agama dan Melayu dalam kerajaan, macam bisu tak bersuara bila ‘pasangan’ mereka seolah sedang merobek dan menanggalkan maruah perjuangan mereka demi bertahan untuk sekelumit kuasa yang rapuh,” ujarnya.
Cadangan penubuhan portfolio itu dibuat Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam, dengan mendakwa ia dapat mengukuhkan perpaduan negara serta mengelakkan mana-mana pihak daripada terpinggir.
“Beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah lama mempunyai Exco Hal Ehwal Bukan-Islam. Maka peringkat Persekutuan juga boleh mencontohi langkah ini untuk menjamin hak semua rakyat.
“Menteri ini boleh melantik seorang pemimpin yang dihormati dalam kalangan masyarakat bukan Muslim untuk menguruskan hal ehwal bukan-Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2025











