
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan kebimbangan tinggi terhadap kehilangan pekerjaan akibat kecerdasan buatan (AI), kata Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu).
Menurutnya, ini berdasarkan tinjauan Redsource Rediction 2025 yang mendapati 73 peratus responden percaya AI akan menyebabkan pengurangan peluang pekerjaan secara ketara.
Beliau berkata, peratusan itu melebihi purata global, iaitu 65 peratus.
“Apakah pendekatan kerajaan untuk menjamin kelangsungan pekerja lebih 1.12 juta dalam industri gig?” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, penyesuaian sektor tersebut penting dalam peralihan ke arah pekerjaan berkemahiran tinggi, tanpa menjejaskan fleksibiliti yang menjadi daya tarikan utama industri gig.
Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, AI tidak akan mengurangkan pekerjaan, sebaliknya akan membuka peluang dalam bidang baharu.
“Walaupun ada kebimbangan tersebut tetapi bagi tujuan tersebut dalam jangka masa panjang kita membincangkan di kementerian telah memulakan inisiatif untuk mengintegrasikan pekerja gig ke dalam perlindungan sistem negara melalui rang undang-undang, pekerja gig itu sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, Bakri dalam soalan asal meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan adakah Kementerian berhasrat untuk menyediakan satu algoritma khas dalam meletakkan kaedah gaji minimum kepada pekerja industri gig. – HARAKAHDAILY 13/2/2025











