Janji kemenangan Allah kepada hamba yang soleh

- Advertisement -

MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa kemenangan telah dijanjikan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang soleh, sebagaimana yang disebut dalam kitab-kitab terdahulu. 

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian dengan merujuk kepada pidato Saad Abi Waqqas kepada tenteranya ketika menghadapi Parsi, di mana beliau membacakan firman Allah dalam Surah al-Anbiya, ayat 105, bermaksud bahawa bumi akan diwarisi oleh hamba-hamba Allah yang soleh.

“Allah Taala janji nak beri kemenangan kepada kita sejak dalam kitab-kitab zaman dahulu,” katanya ketika menyampaikan kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Menurut Tuan Guru, para qari ketika itu juga diperintahkan oleh Saad untuk membaca Surah al-Anfal yang memberi semangat peperangan.

Beliau turut menceritakan bagaimana Saad RA mengarahkan tenteranya untuk mara selepas mendengar takbir sebanyak empat kali dan meminta mereka berzikir dengan menyebut ‘la hau la wala quwwata illa billah’. 

Tuan Guru berkata, ketika itu, Saad menghadapi keuzuran akibat sakit bisul yang memaksanya meniarap di atas bantal, namun tetap mengawasi pergerakan tentera Islam dengan menugaskan Khalid Urfutah untuk menyampaikan arahannya kepada setiap ketua pasukan. 

Dalam peperangan tersebut jelas Tuan Guru, perkhidmatan perubatan turut disediakan dengan para tabib bertugas, manakala muslimat berperanan sebagai jururawat untuk merawat tentera yang cedera. – HARAKAHDAILY 7/2/2025

- Advertisement -
- Advertisement -