Geopolitik tegang jika AS pindahkan penduduk Gaza

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya negaranya mengambil alih Semenanjung Gaza berpotensi mencetuskan ketegangan baharu dalam geopolitik Timur Tengah dan dunia Islam secara amnya.

- Advertisement -

Pensyarah Kanan Program Pengajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Aizat Khairi berkata, negara-negara Arab seperti Jordan, Mesir dan Arab Saudi telah pun menyatakan bantahan terhadap cadangan tersebut.

Jelas beliau, tindakan cuba dilakukan Presiden AS, Donald Trump itu dibantah negara-negara tersebut dengan alasan ia melanggar hak asasi rakyat Palestin dan berpotensi mencetuskan ketidakstabilan di rantau itu.

“Trump menggambarkan Gaza sebagai ‘simbol kematian dan kehancuran’ dan percaya bahawa penduduk Palestin perlu dipindahkan ke pelbagai kawasan di negara lain.

“Cadangan untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza itu dilihat sebagai usaha pembersihan etnik dan berpotensi melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini

Tambah beliau, pemindahan penduduk Gaza secara paksa boleh menyebabkan penderitaan dan kehilangan tempat tinggal bagi jutaan rakyat Palestin yang kini sudahpun cukup menderita akibat konflik yang berpanjangan.

“Negara-negara jiran mungkin enggan menerima pelarian Palestin yang boleh mencetuskan ketegangan diplomatik dan konflik baharu. Amerika Syarikat mungkin menghadapi kecaman global dan dituduh melanggar undang-undang antarabangsa serta prinsip hak asasi manusia,” ujarnya.

Justeru, menurut beliau, negara-negara Islam perlu mengambil langkah sewajarnya terhadap cadangan tersebut dan memastikan ia sama sekali tidak dapat dilaksanakan oleh AS dan sekutunya.

“Mereka perlu mengeluarkan kenyataan rasmi yang menolak cadangan tersebut dan menegaskan sokongan terhadap hak rakyat Palestin untuk kekal di tanah air mereka.

“Negara Islam perlu bekerjasama dengan negara-negara lain termasuk anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menekan Amerika Syarikat agar menarik balik cadangan tersebut.

“Selain memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza dan menyokong usaha pembinaan semula tanpa perlu memindahkan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/2/2025

- Advertisement -