
BENTONG: Pertubuhan Kebajikan Alumni Maahad Shubra (PERKEMAS) tiba di Kaherah, Mesir dalam misi lawatan rasmi bagi menyerahkan sumbangan kepada Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) MAQAZ Shubra, baru-baru ini.
Menurut Pengerusi PERKEMAS, Ustaz Zarimi Shubrawi, majlis ramah mesra antara PERKEMAS dan DPM MAQAZ Shubra berlangsung di Dewan Al Jazari, DPM MAQAZ Shubra, jam 7.30 malam waktu tempatan.
Katanya, pada majlis ringkas tetapi meriah tersebut, telah diadakan penyerahan sumbangan sebanyak EGP68,000 daripada PERKEMAS kepada DPM MAQAZ Shubra.
“Saya berharap melalui sumbangan tersebut, sedikit sebanyak dapatlah membantu DPM mengurus dan menganjurkan program pelajar-pelajar di Shubra,” ujarnya yang menghubungi Harakahdaily.
Katanya, rombongan yang diketuai beliau itu dalam rangka lawatan rasmi empat hari di Mesir bersama 31 jemaah yang banyak menyumbang dana bagi NGO tersebut sebelum berlepas ke Mekah untuk menunaikan umrah.
Menurutnya, majlis yang berlangsung sekitar satu setengah jam itu tambah berseri dengan kehadiran pensyarah Maahad Qiraat Shubra, Syeikh Abdul Rahman yang telah memberikan pengisian dan juga menganugerahkan Ijazah Ammah Bacaan Surah Al Fatihah.
Tambahnya, dalam ucapan pada majlis itu, beliau menegaskan kepada para pelajar agar memperdalam ilmu pengetahuan tentang agama.
“Semua pelajar mesti bersedia untuk menyumbang kepada masyarakat, memahamkan masyarakat tentang agama.
“Jangan cemarkan jatidiri sebagai ahlul quran. Kekalkan imej kita sebagai alumni Al Azhar dalam bidang qiraat. Buat persediaan ilmu yang kita belajar, biar jadi pakar dan tambah ilmu-ilmu lain seperti pengurusan dan surat menyurat,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa kesatuan pelajar dan semangat ukhuwwah Islamiah pelajar-pelajar Melayu di Shubra mesti dikekalkan.
Tambahnya, MAQAZ juga adalah tempat menimba ilmu dan pengalaman, mengajar erti perjuangan dan semua ini sangat penting sebagai persediaan menyumbang bakti kepada masyarakat apabila pulang ke tanah air kelak. – HARAKAHDAILY 2/2/2025












