‘Namakan 11 kerusi yang diyakini akan menang itu’

Ahmad Fadhli cabar Mohamad Sabu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari meminta Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menamakan sebelas kerusi yang diyakini menang oleh parti itu pada pilihan raya akan datang.

- Advertisement -

Permintaan itu dibuat susulan kenyataan Mohamad Sabu dalam ucapan penggulungan Konvensyen Nasional Amanah pada Sabtu bahawa pihaknya yakin parti itu mampu memenangi berbelas kerusi di Kelantan.

“Satu keyakinan yang bagus, cumanya kalau boleh nak minta abang Mad namakan paling minimum sebelas kerusi (angka paling minimum untuk jumlah berbelas) yang menjadi sasaran untuk dimenangi oleh Parti Amanah.

“Tidak banyak, sebelas sahaja dulu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau.

Mohamad Sabu dalam ucapan tersebut berkata, perkara itu adalah tidak mustahil sekiranya kerajaan ketika ini dalam keadaan baik, selain pengaruh Amanah yang didakwa makin berkembang di kalangan orang Melayu.

“Memang sukar nak hadapi parti lawan yang memerintah negeri (Kelantan). Tapi saya yakin pilihan raya akan datang kalau perpaduan kita baik, kita akan menang berbelas kerusi di Kelantan

“Saya akui tanggapan (Amanah tak dapat tarik undi orang Melayu) itu dan memang kita tahu pada orang Melayu ini, Umno dan PAS saja ada dalam pemikiran mereka.

“Tapi kita yakin, kita sedang berkembang, di mana keahlian kita bertambah setiap bulan dan saya akui ia berkembang tidak sehebat parti lawan, tapi ia sedang berkembang dan sekarang ini penerimaan rakyat terhadap kami di Kelantan juga agak memberangsangkan,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 2015, Amanah mencipta kemenangan pertama di Kelantan dalam pilihan raya lalu, iaitu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama menerusi calonnya, Dr Hafidzah Mustakim dengan majoriti 202 undi. – HARAKAHDAILY 27/1/2025

- Advertisement -