Kor Ming dikecam biadab, tak sensitif terhadap Muslim

- Advertisement -

TELUK INTAN: Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming diingatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap biadab terhadap agama Islam dan sensitif kepada umat Islam, khususnya berhubung isu penjualan arak di kawasan majoriti Muslim.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan, Nurhafizul Badrul Hisham mengecam kenyataan terbaru Kor Ming yang menyarankan agar penjualan arak tidak menjadi isu besar dengan alasan ‘tak boleh minum, jangan beli’.

“Kenyataan ini jelas menunjukkan sikap tidak sensitif dan biadab terhadap ajaran Islam yang dianuti majoriti rakyat negara ini. Ia juga boleh menggugat semangat perpaduan kaum apabila mengabaikan sensitiviti umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nurhafizul, Islam bukan sahaja melarang umatnya meminum arak tetapi juga terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan seperti pengedaran, penjualan, atau penyediaan minuman keras.

“Penjualan arak secara berleluasa boleh menyumbang kepada peningkatan masalah sosial dan jenayah, termasuk kes pemandu mabuk serta keganasan rumah tangga yang membahayakan masyarakat.

“Oleh itu, kawalan ketat atau larangan penjualan arak di kawasan majoriti Muslim adalah langkah yang wajar,” tegas beliau.

Sebelum ini, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, mengumumkan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menjalankan kajian berhubung larangan penjualan arak di kawasan penduduk majoriti Muslim, seperti yang telah dilaksanakan di Gugusan Manjoi pada tahun 2020 dan 2021.

Langkah tersebut dilaksanakan selepas bantahan besar-besaran daripada penduduk setempat.

Pemuda PAS Teluk Intan turut menyatakan sokongan terhadap usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam mengawal penjualan arak.

Pihaknya, menegaskan pendekatan terbaik ialah mengehadkan penjualan kepada kawasan bukan-Islam bagi memastikan keharmonian antara kaum terus terpelihara.

“Perpaduan hanya dapat dicapai apabila semua pihak menghormati sensitiviti agama dan budaya masing-masing,” tambah Nurhafizul. – HARAKAHDAILY 27/1/2025

- Advertisement -