
MARANG: Mantan Setiausaha Pemuda Umno Terengganu, Endut S Mat Ali telah meninggal dunia pada jam 11:01 malam tadi di usia 87 tahun, di sini.
Allahyarham yang menyertai PAS tahun lalu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Marang, jam 10 pagi tadi.
Allahyarham dikenang sebagai seorang tokoh yang banyak berjasa dalam bidang sosial, pembangunan masyarakat dan politik.
Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan di akhbar Utusan Melayu pada 1959, berkhidmat hingga 1976 sebelum menyertai Kementerian Pertanian sebagai Pegawai Penerangan dan Kemajuan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Di LKIM, Allahyarham memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat nelayan dengan menubuhkan 105 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh negara, yang berjaya menghimpunkan keahlian seramai 115,000 orang.
Setelah bersara pada 1986, Allahyarham beralih ke bidang pemajuan perumahan namun terus aktif dalam usaha kebajikan.
Sebagai Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya), beliau mempelopori pelbagai inisiatif termasuk membuka pusat tahfiz dan rumah anak yatim.
Keikhlasan dan komitmen Allahyarham dalam memperjuangkan nasib golongan yang memerlukan menjadikan beliau figura dihormati di Terengganu.
Pemergian beliau dirasai seluruh lapisan masyarakat, terutama mereka yang mendapat manfaat daripada usahanya.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman. – HARAKAHDAILY 22/1/2025











