
KUALA LUMPUR: MAHB merupakan aset strategik negara dengan keuntungan tahunan mencecah setengah bilion ringgit yang tentunya penjualan kepada syarikat luar, akan memberi impak negatif terhadap ekonomi negara dan rakyat.
Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) sehubungan itu digesa tidak menjual pegangan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebanyak tujuh peratus kepada pihak luar, khususnya syarikat pelaburan antarabangsa, BlackRock.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustaffa berkata, penjualan 30 peratus saham kepentingan dalam MAHB kepada BlackRock akan merugikan negara kerana keuntungan daripada operasi MAHB akan dialihkan ke luar negara.
“Kami mengesa kerajaan bertindak tegas. Penjualan saham kepada pihak luar adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap aset strategik negara. Sepatutnya kalau MAHB nak jual saham bagi pada KWAP, tingkatkan daripada tujuh peratus menjadi 20 peratus.
“Jadi keuntungan daripada MAHB yang setahun hampir setengah bilion itu akan dapat 20 peratus kepada KWAP, dan KWAP boleh memberikan dividen yang lebih besar kepada kumpulan Wang Amanah pencen ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum diketuai Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali kepada Ketua Jabatan Komunikasi Strategik KWAP, Nor Faridah Amin di bangunan KWAP, di sini hari ini.
Antara wakil NGO yang hadir termasuk aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Elad; Naib Pengerusi UMMAH, Hishamuddin Abu Bakar serta wakil Srikandi BERSATU, dan lain-lain.
“Wang dalam KWAP adalah amanah rakyat, khususnya pencen pesara kerajaan. Oleh itu, pelaburan perlu dilakukan dengan bijak dan mengutamakan kepentingan rakyat serta negara,” tambahnya.
Menurut Mohd Zai, UMMAH juga merancang untuk menyampaikan mesej sama kepada pihak berkaitan, termasuk di Menara PNB dan MAHB, dalam masa terdekat.
“Sekiranya penegasan kita ini tidak diambil perhatian oleh pihak-pihak yang berkaitan, kita berkemungkinan akan menganjurkan satu himpunan yang besar untuk menegaskan perkara ini kepada kerajaan supaya kerajaan bertindak,” katanya.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad dalam pada itu menyifatkan langkah kerajaan menswastakan saham MAHB adalah langkah tempang yang kini menunjukkan prestasi tidak memuaskan dan tidak mendapat sambutan baik para pemegang saham.
Menurutnya, tindakan semua lima Ahli Lembaga Pengarah bukan eksekutif MAHB yang mengesyorkan agar menolak tawaran RM11 sesaham MAHB ini membuktikan nilai tersebut sangat tidak setimpal dan munasabah.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga katanya, dianggarkan telah mencatat kerugian melebihi RM500 juta apabila tergesa-gesa membeli semula pada kadar RM11 yang dijual antara Nov 2022 sehingga Dis 2023 dengan nilai jualan lebih rendah ketika itu.
“Kerajaan sedang terdesak sehingga hilang pertimbangan waras dalam menguruskan aset negara.
“Tindakan ini menjatuhkan maruah negara kerana MAHB mempunyai potensi besar dalam sektor penerbangan dan lanjutan tawaran pengambilalihan saham ini memalukan negara. – HARAKAHDAILY 21/1/2025











