Perarakan bendera China: Kes diramal berakhir NFA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menjangkakan bahawa kes melibatkan perarakan bendera, akan berakhir seperti biasa iaitu penutupan kes (NFA) tanpa sebarang pihak yang didakwa.

Reaksi itu susulan laporan media tempatan mengenai tindakan polis membuka tiga kertas siasatan berhubung perarakan kebudayaan di Muar yang mempamerkan bendera China bersama Jalur Gemilang, sehingga menyebabkan ia tular di media sosial.

Siasatan itu dilaporkan dijalankan mengikut pelbagai seksyen undang-undang, manakala penganjur dan saksi kejadian dipanggil untuk membantu siasatan.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, peristiwa tersebut akan berlaku mengikut turutan bermula dengan perarakan bendera, diikuti dengan laporan polis, dan seterusnya siasatan akan dijalankan.

“Keempatnya, penganjur minta maaf. Kelimanya, Ahli-ahli Parlimen mereka pertahankan dalam Dewan. Keenam, kes tutup, tiada pihak didakwa.

“Kemudian mula balik dari nombor satu dan seterusnya hinggalah abang Jamil …,” ujarnya secara sinis dalam media sosial miliknya hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan terdapat beberapa isu mengenai pengibaran bendera China di Malaysia antaranya di Teluk Intan yang dilaporkan dibuat semasa sambutan Guan Gong Sedunia.

Selain itu, pengibaran bendera China di Johor Bahru iaitu dua insiden kibar bendera China mencetuskan kemarahan di media sosial dan dianggap sebagai provokasi perkauman.

Penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia dilaporkan memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China dan menyatakan bahawa tindakan tersebut bukan sebahagian daripada program rasmi.

- Advertisement -

Walaupun terdapat laporan polis dibuat sehingga kini isu yang menimbulkan perdebatan awam itu dilihat tidak ditangani secara perundangan sewajarnya dan lebih kesal ia masih berulang. – HARAKAHDAILY 20/1/2025

- Advertisement -