Kerajaan akan bantu mangsa kebakaran Kupang

- Advertisement -

BALING: Kerajaan negeri sedia mempertimbang bantuan termasuk pembinaan rumah baharu kepada mangsa kebakaran di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang, maklum Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Menurutnya, kebakaran yang melibatkan kerosakan 10 kediaman dan kenderaan itu mengalami kerugian mencecah RM791,000, dipercayai berpunca dari perbuatan khianat.

“Perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri pada akan datang untuk mempertimbangkan bersama khususnya kepada kediaman yang mengalami kerosakan keseluruhannya.

“Pejabat Daerah Baling juga telah membuat permohonan untuk sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran tersebut,” jelasnya.

Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Kampung Sejahtera Negeri Kedah di Dewan Tuanku Haminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), di sini semalam.

Jelasnya, beliau dimaklumkan mangsa kebakaran yang hilang tempat tinggal menumpang di rumah saudara-mara mereka pada ketika ini.

Mengimbas kejadian dilaporkan berlaku pada 24 Disember dan 12 Januari lalu, antara jam 9 malam hingga 4 pagi itu kata Sanusi,
kebakaran bermula pada motosikal yang diletak di hadapan rumah sebelum api merebak sehingga menyebabkan kereta dan rumah turut terbakar.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan ucapan takziah kepada semua mangsa yang terlibat dan semoga bersabar dalam menghadapi dugaan ini,” katanya lagi.

Pihak kerajaan negeri ujarnya, akan berusaha meringankan beban semua mangsa yang terlibat, apatah lagi dalam suasana menyambut Ramadan dan Aidil Fitri, tidak lama lagi.

Dalam perkembangan sama, Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kupang, telah mengaktifkan pos kawalan di kampung-kampung untuk membantu pihak berkuasa mengekang perbuatan khianat itu.

“Kita akan cuba dapatkan perkembangan terkini kes ini daripada pihak polis dan harap polis dapat tangkap suspek secepat mungkin,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan pihak polis telah menahan lapan lelaki berusia 25 hingga 35 tahun, bagi membantu siasatan berhubung sembilan insiden kebakaran motosikal di Kupang di sini, sejak bulan lepas hingga awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Supt Azmi Mokhtar berkata, hasil siasatan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mendapati terdapat unsur khianat dalam insiden terbabit.

Katanya, semua kes kebakaran dilaporkan bermula dengan kebakaran motosikal sebelum merebak ke rumah kediaman dan kenderaan lain. – HARAKAHDAILY 17/1/2025

- Advertisement -