Tadabur al-Quran suburkan jiwa menuju Ramadan

Nasriff menyampaikan hadiah kepada seorang pelajar cemerlang pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah Rendah Islam Al-Furqan.
- Advertisement -

PASIR MAS: Para ibu bapa diseru menyuburkan amalan bertadabur al-Quran bersama anak-anak sempena bulan Rejab menuju Ramadan.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir, Mohamad Nasriff Daud, menyeru ibu bapa  menanamkan sikap gemar bertadabur al-Quran bersama anggota keluarga.

Menurutnya, amalan membaca al-Quran mampu membimbing masyarakat supaya mengamalkan apa yang disuruh agama serta menjauhi larangannya.

Beliau turut menyarankan ibu bapa memahami Islam dengan lebih mendalam, khususnya melalui penguasaan Bahasa Arab.

“Mendalami Bahasa Arab membolehkan seseorang merasai keajaiban dan keberkatan selepas bertadabur dengan al-Quran,” katanya ketika merasmikan Majlis Ihtifal Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah Rendah Islam (SERI) Al-Furqan dan Maahad Tahfiz Wa Ta’lim Al-Furqan 2024/2025.

Majlis tersebut berlangsung di Dewan Al-Fateh, Kolej Kemahiran Tinggi MARA Lubok Jong, di sini semalam. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Justeru itu, tambahnya betapa penting untuk setiap keluarga umat Islam memahami Bahasa Arab.

“Tentu ramai di kalangan kita yang berasa terkilan kerana tidak dapat menguasai Bahasa Arab sehingga menyukarkan kita untuk mendalami makna al-Quran sebagaimana saya,” katanya lagi.

Bagaimanapun, menurutnya selepas pulang dari menunaikan umrah, beliau mengambil langkah menyertai kelas Bahasa Arab dan tahsin al-Quran selepas menunaikan solat Subuh berjemaah setiap Jumaat dan Sabtu.

Nasriff turut menasihati ibu bapa supaya mengawal penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak mereka.

Langkah ini, katanya, bertujuan memastikan suasana harmoni dan kemeriahan berziarah bersama keluarga dapat dikembalikan seperti dahulu.

Majlis tersebut dihadiri lebih 500 hadirin, termasuk ibu bapa, guru, dan pelajar yang diraikan atas kecemerlangan mereka dalam pelbagai bidang akademik, hafazan al-Quran, dan kokurikulum.– HARAKAHDAILY 12/1/2025

- Advertisement -