
KANGAR: Pendidikan di PASTI menekankan tiga perkara utama dalam mendidik anak-anak, iaitu mencintai Nabi Muhammad SAW, mencintai keluarga Baginda, dan membaca serta memahami Al-Quran.
Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar, Ustaz Yussaine Yahya, berkata pendidikan di PASTI bukan hanya berorientasikan duniawi tetapi berteraskan Al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW.
Beliau memetik hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ajarkan anak-anak kamu tiga perkara: mencintai Nabi mereka, mencintai keluarga Nabi, dan membaca Al-Quran.”
Menurutnya, pendidikan ini merangkumi tiga aspek penting.
“Pertama, anak-anak dididik untuk mencintai dan mengenali Nabi Muhammad SAW dengan mempelajari sirah Baginda serta mencontohi sunnah dan akhlaknya dalam kehidupan seharian.
“Kedua, mereka diajar untuk mencintai keluarga Nabi atau Ahlul Bait dengan menghormati dan menyayangi mereka serta menjadikan mereka teladan dalam kehidupan.
“Ketiga, penekanan diberikan kepada pembelajaran Al-Quran, termasuk membaca dengan tajwid yang betul, memahami kandungannya, dan mengamalkan ajarannya sebagai panduan hidup,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Prestasi PASTI Kawasan Kangar di Kompleks PAS Negeri Perlis, di sini hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada guru-guru PASTI yang telah berkorban masa dan tenaga demi mendidik anak-anak menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.
Katanya, usaha mendidik generasi muda ini merupakan satu jihad besar, dan sokongan ibu bapa sangat penting bagi menjayakan usaha tersebut.
Beliau mengucapkan tahniah kepada mereka dan berharap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pencapaian lebih besar di masa hadapan.

Seramai 152 murid yang mencatat pencapaian cemerlang diraikan pada majlis hari ini. – HARAKAHDAILY 11/1/2025











