
HAMPIR separuh abad Syria dikawal di bawah Parti Baath, Hafiz Al Assad menunggang ideologi Sosialis Arabisme seterusnya disambung anaknya Basyar Assad. Kezaliman dua beranak ini tidak tergambar dalam sejarah Syria moden; di antara mercu tanda kezaliman Parti Baath ialah pembantaian Hammah pada tahun 1982. Seramai 40,000 orang anggota Ikhwanul Muslimin dibunuh kejam oleh rejim Hafiz Assad.
Syria terkenal sebagai pusat sembelihan pejuang-pejuang Islam di mana ramai ulama serta pemikir Islam terpaksa melarikan diri ke luar negara untuk menyelamatkan nyawa seperti Sheikh Said Hawwa, Sheikh Dr Ali Soubuni, Sheikh Dr Mustapha Bugha serta ratusan nama besar yang lain.
Dua beranak tirani ini menganut fahaman Syiah Nusairiah; tiada istilah berkompromi dengan mana-mana gerakan Islam atau jamaah dakwah termasuk Jamaah Tabligh juga dikekang hebat.
Dengan berlakunya Arab Spring pada hujung tahun 2010 maka tempias kebangkitan rakyat turut melanda bumi Syria. Hampir 12 tahun Syria dibadai derita dan kejerihan, tepatnya tempoh sedozen tahun ini adalah fasa kehidupan yang sangat memeritkan bagi pelarian Syria. Ratusan ribu mati menggeletak, jutaan rakyat Syria menjadi pengungsi di pelbagai negara termasuk di Eropah, belum dikira kesakitan kekal akibat pemenjaraan paling kejam dalam milineal baru.
Syria adalah sebahagian daripada tanah Syam, buminya pernah dipijak oleh ar Rasul SAW yang mulia bahkan menjadi tanah kuburan kepada ratusan para sahabat Nabi SAW.
Negara ini dalam rakaman sejarahnya telah melahirkan ribuan para ulama serta pemikir ummah, namun lebih sedekad dihimpit peperangan yang menghancurkan negara.
Kota-kota besar seperti Idlib, Ariha, Dar’ a, Homs dan Ghuttoh telah berantakan akibat peperangan, bahkan ditindan lagi kedukaan dengan wabak COVID-19 yang menaufan dunia lima tahun lalu.
Peta luka umat Islam Syria seperti tiada pancingan pesona buat warga dunia; darah yang tumpah seperti darah kerbau yang tiada nilainya.
Bertempiklah sehingga bergegar dunia, bagi yang tidak peduli mereka tetap tak kisah. Gaza yang merintih, al Quds yang dijajah, Rohingya yang disembelih, Bosnia yang rawan, Afghanistan yang terkepung kelaparan atau Kashmir yang disergap kesakitan.
Peta luka umat Islam memerlukan kepedulian umat, tidak cukup kita mengeluh dan berpeluk tubuh di hadapan kaca TV.
Syria adalah pintu untuk menawan kembali tanah Palestin, bumi bersejarah ini mempunyai banyak petunjuk akhir zaman yang disabda oleh ar Rasul SAW.
Sebelum peristiwa tumbangnya Bashar, Syria adalah penanda aras kemusnahan peradaban. Kemuncak musim sejuk dengan suhu di bawah paras minus sangat mendera para pengungsi yang tidak pasti bilakah kubangan darah di tanah air mereka akan berhujung. Kemuncak musim sejuk dengan salju putih memenuhi kawasan pengungsian seolah-olah berada di Kutub Utara, timbunan salju sehingga beberapa kaki ini juga mengheret duka pelarian.
Mati kelaparan sudah tidak menjadi berita penting kepada pengungsi peperangan lebih sedekad ini.
Pelarian Syria yang berada di sempadan Turki agak bernasib baik kerana keprihatinan kerajaan pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang menyediakan ruang yang lebih baik untuk pelarian.
NGO antarabangsa seperti IHH juga menfokuskan secara holistik bantuan pelarian Syria seperti mewujudkan sekolah-sekolah untuk anak pelarian.
Rejim Bashar pernah melepaskan air empangan ke Antakia kerana berang dengan sikap kerajaan Turki yang dilihat seolah-olah campur tangan dalam soal pengungsi dari Syria.
Kerajaan Turki telah membuka banyak peluang kehidupan kepada pelarian Syria sama ada peluang kerja atau pendidikan. Penulis juga menjadi saksi mata dalam tempoh 12 tahun ini bagaimana bangunan-bangunan kediaman baru muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan di Rayhanli.
Krisis kemanusiaan pasca Arab Spring juga memburuk di khemah-khemah pelarian Syria di sempadan Lubnan, juga sebelah Jordan terutama dengan kedatangan musim sejuk yang menggigit tulang temulang.
Jutaan pengungsi warga Syria yang lari dari konflik berdarah Syria semenjak 12 tahun lalu berhadapan dengan situasi yang paling getir apabila musim sejuk menyerkap mereka dengan kekurangan makanan, pakaian, selimut, alat pemanas dan ubatan.
Dalam tempoh 12 tahun ini, kematian akan meningkat setiap hari terutamanya di kalangan kanak-kanak, bayi dan warga emas, malah kelaparan luar biasa yang dialami sehingga ada yang terpaksa memakan tikus dan kucing seperti yang pernah berlaku seawal setahun dua krisis Syria.
Jatuhnya kerajaan Bashar awal Disember lalu, adakah nasib rakyat Syria akan bertambah baik? Dalam kondisi Ahzab moden mengintai peluang untuk menjarah Syria kerana kedudukan geopolitiknya yang strategik, Israel pasti paling ke hadapan menyekat kerajaan baru Syria daripada menjadi sebuah kerajaan Islam.
Amerika dengan pelan pecah perintahnya dengan mensasarkan Syria dipecahkan kepada tiga buah negara.
Lantas, negara-negara umat Islam tidak wajar membiarkan Syria diratahi musuh serta tidak dibantu untuk bangkit kembali menjadi negara berdikari yang mampu melindungi rakyatnya.
Pelbagai platform antarabangsa umat Islam wajib digerakkan serta merta. Jika tanpa keupayaan membantu, paling kurang, digalangi mesyuarat khas untuk membantu Syria.
Lihatlah bagaimana kesilapan negara umat Islam untuk membantu membangunkan kembali Afghanistan pasca Ogos 2021. Negara yang puluhan tahun disergap peperangan itu menatijahkan kemiskinan ekstrem, juga kejahilan ekstrem.
Pendidikan adalah alat transformasi sesebuah negara dan masyarakat. Kita wajib membantu Syria bermula dengan pemberdayaan pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang mampu membangunkan negara pasca peperangan panjang.
Penulis berpeluang lebih sembilan kali mengikuti misi bantuan kemanusiaan ke sempadan Turki dan juga Jordan yang merupakan jiran Syria. Termasuk misi membantu pelarian Syria di benua Eropah seperti di negara-negara Austria, Republik Chech dan Jerman.
Masa bergerak pantas. OIC, Liga Arab, D8 atau pun juga rangkaian NGO Muslim antarabangsa perlu bergegas memikirkan strategi tindakan segera bagi memulihkan negara Syria pasca pengunduran Bashar.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Anggota misi bantuan tanpa sempadan – HARAKAHDAILY 11/1/2025











