NGO adalah kuasa ketiga, penting bangkit bersuara

Imbang kuasa dan ubah tindakan, keputusan kerajaan

- Advertisement -

BANGI: Tindakan badan bukan kerajaan (NGO) menegur ketiadaan elemen masjid dalam video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 merupakan contoh betapa suara rakyat mampu mengubah keputusan kerajaan. 

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Hubungan NGO dan Seranta PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad yang juga ADUN Gual Periok, Kelantan berkata, sekiranya NGO tidak bersuara, isu tersebut mungkin akan dibiarkan tanpa perubahan.

Namun menurutnya, apabila sensitiviti masyarakat diketengahkan oleh NGO yang bangkit dan menyuarakan, pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan untuk memperbetulkan keadaan. 

“Kalau kita senyap, adakah kerajaan akan buat semula video itu? Tetapi apabila kita bangkit menyatakan hak kita, mereka yang cuba mengambil peluang akan terpaksa fikir banyak kali.

“Suara yang paling kuat bukan suara individu, tapi suara yang paling kuat ialah suara yang mewakili NGO-NGO inilah untuk bangkit mempertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan program Malam Jalinan Kasih anjuran Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), di sini malam tadi.

Kamaruzaman menegaskan, NGO bukan sekadar platform untuk misi kebajikan atau kemanusiaan tetapi juga kuasa ketiga yang mengimbangi kuasa kerajaan.

Beliau menyeru NGO agar terus memainkan peranan penting dalam mempertahankan hak rakyat, terutama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Apa yang kita lakukan bukan mengambil hak orang lain, tetapi mempertahankan apa yang sudah dijamin oleh Perlembagaan. Kelalaian kita dalam perkara ini boleh menyebabkan hak-hak ini terhapus,” ujarnya. 

Kamaruzaman turut mengingatkan agar NGO tidak terlalu menumpukan perhatian kepada isu luar negara sehingga mengabaikan masalah dalam negara. 

“Jangan sampai 10 atau 20 tahun akan datang, kita pula menjadi pihak yang memerlukan bantuan seperti mana kita membantu orang lain hari ini. Apa yang kita buat hari ini adalah untuk mempertahankan hak kita di tanah air sendiri,” katanya. 

Beliau menegaskan bahawa NGO bukan sahaja fokus kepada misi kemanusiaan, tetapi juga menjadi benteng utama dalam menghadapi ancaman dalaman terhadap kedudukan Islam dan hak istimewa Bumiputera. – HARAKAHDAILY 11/1/2025

- Advertisement -